Kerajaan BN dulu mampu beri RM1,200 hingga RM2,000 bagi keluarga B40 dan M40, kata Najib

Kerajaan BN dulu mampu beri RM1,200 hingga RM2,000 bagi keluarga B40 dan M40, kata Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak menyarankan kerajaan menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dalam mengharungi perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) akan membina semula tabung KWAN pada masa depan.

“Korek lagi RM4.2 bilion dari tabung KWAN supaya jumlah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) naik daripada RM2.1 bilion kepada RM6.3 bilion untuk jumlah bayaran BPR.

“RM300 ke RM500 jadi RM900 ke RM1,500 bagi keluarga B40. RM100 bagi bujang jadi RM300.

“Jumlah ini lebih bermakna untuk golongan B40 menghadapi ‘total lockdown’ selama satu setengah bulan,” katanya dalam catatan di Facebooknya bagi mempertikaikan bantuan kerajaan terhadap B40 dan M40 dalam menghadapi PKP penuh.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sebelum Covid-19, kerajaan BN mampu memberikan RM1,200 hingga RM2,000 bagi keluarga B40 dan M40, serta RM450 hingga RM600 buat orang bujang di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau turut mempersoalkan sama ada bantuan RM500 cukup bagi keluarga B40 dengan sekurang-kurangnya tiga ahli keluarga dibayar hanya pada akhir bulan ini untuk mengharungi tempoh “lockdown” selama satu setengah bulan.

“Adakah bantuan hanya RM100 yang dibayar setelah ‘lockdown’ berlangsung satu bulan cukup untuk orang bujang.

“Lebih-lebih lagi, bantuan ini setelah mereka menghadapi PKP 2.O + PKP 3.0/3.1 selama lima bulan dan kini perlu menghadapi ‘lockdown’ satu setengah bulan lagi.

“Bagaimana pula dengan tambahan bayaran RM500 kepada penerima Geran Khas Prihatin (GKP) yang hanya dibayar pada Julai?” soalnya.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan RM40 bilion untuk membantu rakyat dan perniagaan menghadapi PKP penuh yang berkuat kuasa sehingga 14 Jun ini.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/02/korek-lagi-dana-kwan-untuk-bantu-b40-dan-m40-kata-najib/