Kerajaan bersetuju untuk sekat aktiviti lompat parti

Kerajaan

Kerajaan bersetuju untuk sekat aktiviti lompat parti.Kerajaan bersetuju melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan meliputi tujuh perkara yang antaranya membabitkan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti dan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sahaja.

Lima transformasi dipersetujui adalah pelaksanaan Undi18, keseimbangan keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Rang Undang-undang termasuk Perbekalan akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Transformasi lain merangkumi ahli pembangkang akan dibabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Ketua Pembangkang diberi saraan serta kemudahan setara dengan menteri.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata mesyuarat Jemaah Menteri hari ini komited melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Ini selaras dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

Kerajaan

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tawaran transformasi itu juga bertujuan mewujudkan landskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Pada masa sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa,” katanya.

Ismail berkata, transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/10/kerajaan-setuju-sekat-lompat-parti-had-penggal-pm/

BACA: Projek Lapangan Terbang : NGO lapor SPRM terhadap MB Kedah