Kerajaan bakal tetap syarat vaksin lengkap libatkan golongan remaja untuk guna kemudahan

Syarat vaksin lengkap yang membolehkan seseorang menggunakan kemudahan bakal melibatkan remaja berusia 12 hingga 17 tahun menyusuli mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa ketika ini akan diperluaskan kepada golongan remaja berkenaan yang telah divaksin lengkap dengan syarat itu akan dinyatakan dalam semua SOP.

“Bagaimanapun, ia tidak akan dilaksanakan serta merta. Kerajaan akan selaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja ‘grace period’ selama 3 minggu atau sehingga pertengahan November.

Kerajaan bakal tetap syarat vaksin lengkap libatkan golongan remaja untuk guna kemudahan

“Tempoh ini bagi memastikan kira-kira 80% remaja yang telah menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap,” katanya.

Setakat semalam, kadar vaksinasi dos pertama bagi golongan remaja yang bermula pada 20 Sept lalu mencapai 80.2% atau bersamaan 2,524,156 individu, antara yang terpantas di dunia.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 mengumumkan Johor dan Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 25 Okt ini.

Ismail berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini bersetuju untuk peralihan fasa PPN bagi Johor dan Terengganu bermula 25 Okt.

“SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa.

Katanya, projek rintis itu akan dilaksanakan selama tiga bulan bagi KKM dan MKN menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau peranginan serta kawasan pelancongan lain.

“Terbuka kepada pelancong yang sudah lengkap divaksin dan senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen, KKM, dan Kementerian Luar Negeri.

“Tempoh tinggal bagi setiap pelancong sekurang-kurangnya tiga hari dan tiada syarat kuarantin dikenakan,” katanya.

Ismail berkata, pelancong perlu melakukan ujian saringan PCR-RT pada hari kedua sekiranya melancong selama tiga hari, dan pada hari kelima sekiranya melancong lebih lima hari dengan semua kos ditanggung sendiri oleh pelancong.

BACA JUGA : Penerima vaksin Sinovac perlu dos penggalak Pfizer
KKM beri jaminan akan pastikan situasi seperti PRN Sabah tidak akan berulang
Panas !!! Pandelela dedah jurulatih kerap buat lawak lucah, terpalit kes rogol ‘dilindungi’

COMMENTS

Wordpress (0)