Keputusan PAU jelas, tapi mungkin Umno akan main tarik tali lagi – Penganalisa

PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2020 berakhir semalam dengan mandat diberikan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu menentukan bilakah waktu yang difikirkan sesuai untuk semua ahli Parlimen mereka menarik diri daripada kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Keputusan yang diambil oleh perhimpunan agung itu ialah sebulat suara. Seramai 1,110 delegasi menghadiri perhimpunan itu secara fizikal. Selebihnya mengikuti secara maya dari tempat masing-masing.

Mereka juga mahukan wakil-wakil UMNO untuk tarik diri daripada semua jawatan lain termasuk timbalan menteri dan juga pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan atau GLC seperti perbadanan-perbadanan, anak syarikat milik kerajaan atau badan berkanun.

Barisan Nasional (BN) mempunyai 42 wakil dalam Parlimen dengan 38 daripadanya ialah UMNO.

Orang ramai yang mundar-mandir di sekitar WTC yang dulunya dikenali sebagai PWTC nampaknya tidak terkejut dengan keputusan itu. Yang mereka terkejut ialah kenapa keputusan tersebut tidak dibuat sekarang.

Yang keduanya ialah kenapa diserahkan semula kepada MKT untuk menentukan tarikh bila untuk tarik diri dari kerajaan.

Ini kerana PAU ialah badan paling tinggi dalam parti tersebut. Sepatutnya perwakilan mengundi untuk menentukan tarikhnya bila.

Alang-alang nak tarik diri, tarik dirilah sekarang. Tetapi ini bukan perhimpunan kita, ia adalah perhimpunan orang UMNO. Oleh kerana mandat diserahkan semula ke tangan MKT, maka kena tunggulah MKT memanggil mesyuarat.

Mesyuarat itu boleh dipanggil bila-bila masa − hari ini, esok, lusa atau tulat. Mungkin juga minggu depan, minggu satu lagi atau bulan depan. Jadi bila-bila masa boleh.

Yang belum boleh ditentukan lagi ialah, apakah semua menteri, timbalan menteri dan pengerusi GLC daripada UMNO akan patuh dengan keputusan PAU ini.

Apakah akan ada yang enggan mematuhi keputusan PAU dan tidak berganjak dari kedudukan mereka dalam kerajaan PN.

Jika mereka enggan mematuhi arahan ini, apakah bentuk tindakan yang akan diambil ke atas mereka? Mungkin kena gantung keahlian atau mungkin juga kena pecat terus.

Andai kata yang enggan patuh ini digantung atau dipecat, bila-bila masa juga Bersatu boleh membuka pintu kepada mereka. Dan mereka pada kemudian hari boleh bertanding atas tiket Bersatu.

Wow! Macam-macam boleh jadi. Kita sekadar boleh melihat. Yang mengorak langkah, buka gelanggang, bersilat dan bertarung ialah mereka. Kita? Kita hanya tunggu masa Parlimen dibubarkan. Pada hari mengundi itu, kita tentukanlah nasib kita dan nasib mereka macam mana.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/130829/SUARA-SINAR/Lidah-Pengarang/Keputusan-dah-dibuat-ikut-belum-tentu

COMMENTS

Wordpress (0)