Khurafat dahulu dan khurafat sekarang…

Khurafat dahulu dan khurafat sekarang…

Orang Melayu dahulu kala percaya kepada hantu penunggu, pelesit, polong, penanggal, hantu raya dan lain-lain yang dipanggil ‘makhluk halus’. Makhluk ini dimatakan mampu membawa kejahatan, penyakit, sial kepada manusia.

Mereka juga percaya bomoh, dukun, pawang, tok bidan dan tokoh2 supernatural boleh membunuh atau menghalau makhluk halus tadi daripada membawa kerosakan kepada masyarakat.

Cara yang mereka amalkan, sebagaimana diajar oleh tokoh2 supernatural itu antaranya buang ancak (berupa setalam pulut kuning yang ditabur bertih, telah dijampi oleh bomoh dan dibuang ke satu tempat yang jauh dari kampung seperti busut atau pohon besar yang rimbun, dengan kepercayaan hantu yang mengganggu sesebuah keluarga ikut terbuang bersama pulut kuning itu), sembelih kambing atau ayam putih di pantai sebagai makanan hantu laut yang mengganggu rezeki nelayan, mandi safar untuk buang sial dan pelbagai cara khurafat lagi diamalkan.

Sesetengah amalan itu ada yang diamalkan oleh pak imam atau lebai kampung sendiri.
Kepercayaan dan amalan khurafat itu semakin ditinggalkan setelah mengalami proses puluhan tahun dakwah dan penerangan oleh para ulama dan asatizah yang belajar agama sampai ke peringkat universiti dalam dan luar negeri. Namun ia bukanlah satu proses yang mudah, kerana para petinggi di kampung2 Melayu sangat kuat berpegang kepada kepercayaan yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang mereka.

Kini boleh dikatakan sudah tidak ada orang Melayu yang percaya khurafat2 tadi, walaupun masih ada yang mengamalkan sihir seperti santau atau jampi yang disebut sebagai ‘buatan orang’ untuk tujuan mengenakan musibat kepada seseorang yang didengki atau dimusuhi, termasuk dalam kalangan orang2 politik atau bisnes.

Namun ada khufrafat baru yang dipercayai orang Melayu kini. Khurafat itu bukan lagi kuasa2 supernatural yang tak dapat dilihat mata kasar seperti zaman dahulu.

Sebaliknya ia khurafat baru kononnya semua permasalahan umat Melayu ini dicipta oleh orang Cina, khususnya Cina DAP. Cina selain dari DAP adalah agak baik dan tiada kuasa magik untuk merosakkan orang Melayu kononnya. Paling tidak pun, Cina itu mesti dikaitkan dengan DAP (walaupun dia tiada kena mengena dengan DAP) untuk menambah kekuatan kepercayaan Cina itu jahat sejahat puaka jembalang hantu polong.

Khurafat Melayu moden ini bukan sahaja dipercayai Melayu kampungan seperti zaman dahulu. Tetapi ia dipercayai juga oleh sebahagian besar Melayu bandar dan Melayu yang merupakan ulama dan asatizah yang berkelulusan pengajian Islam dari universiti dalam dan luar negeri. Bahkan Melayu yang berdakwah Sunnah ke sana ke mari pun sama-sama menjaja khurafat orang Melayu lemah kerana Cina DAP. Hatta kes wabak Covid-19 sekarang pun ada yang cuba sedaya upaya mengaitkannya dengan Cina DAP dalam kerajaan PH sebelum ini.

Mereka itu tidak mempedulikan fakta negeri-negeri Melayu yang tiada jembalang DAP pun masih lemah, miskin, kadar masalah sosial yang tinggi dan tidak terurus dengan baik. Mereka membatukan fikir bahawa negeri yang sudah lebih 10 tahun diperintah DAP pun, orang Melayunya tidak lebih teruk daripada negeri-negeri Melayu yang tiada DAP. Islam di negeri DAP itu pun tidak kurang sedikit pun daripada Islam di negeri-negeri Melayu tanpa DAP, bahkan ada aspek yang lebih baik.

Lebih dahsyat dan agresif lagi, mereka menyamakan akidah orang Melayu Islam yang dilihat ‘membela’ DAP sebagai seperti akidah Lim Kit Siang. Padahal Melayu itu cuma memperkatakan kebenaran dan mengajak kembali kepada Islam yang sebenar supaya tidak membuat tuduhan tidak berasas walaupun ke atas musuh yang dibenci. “Dan janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berbuat adil. Buatlah keadilan kerana yang demikian itu lebih dekat kepada takwa..” (maksud al-Maaidah: 8)

Itulah khurafat Melayu moden yang belum ditemui ubat dan penawarnya. Khurafat lama sudah dihapuskan golongan ulama dan asatizah Melayu sejak sedekad dua yang lalu.

Bagaimana pula khurafat yang dipercayai dan dipegang kuat oleh para ulama dan asatizah Melayu itu pada zaman kini, lalu dituruti oleh umat Melayu.. siapakah yang akan menghapuskannya?

Hanya Allah s.w.t. yang mengetahuinya.


Nota: Jangan marah jika di antara anda ada yang merasakan ini posting politik, ini sebenarnya cerita khurafat dan takut hantu. Ia tidak melanggar Perintah Kawalan Pergerakan. Takkan setiap masa kena update hal Covid-19, aku bukan Menteri Kesihatan.

Sumber Whatapp