Kenyataan Sokongan Penuh Kepada Pendirian Mufti Wilayah Persekutuan

1. Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah, Parti Amanah Negara Kawasan Jasin menyokong penuh pendirian dan gesaan Al Fadhil Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu sumpah laknat dan penguatkuasaan larangan melakukan majlis sumpah dalam suatu kes berkepentingan awam atau yang sedang dibicarakan di mahkamah yang dikeluarkannya ekoran tindakan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang melakukan sumpah berkenaan dalam Masjid Kampung Baru pada hari Jumaat baru-baru ini.

2. Pihak Biro percaya bahawa kenyataan al Fadhil Dato’ Seri Mufti itu dibuat setelah meneliti dalil-dalil dan kaedah-kaedah tatacara perundangan Islam berhubung pembelaan dalam sesuatu pertuduhan jenayah serta dibuat berdasarkan disiplin ilmu Syariah yang ada padanya dan institusi Mufti itu sendiri.

3. Pihak Biro amat percaya bahawa kenyataan Sohibus Samahah Mufti tersebut dikeluarkan untuk mengelakkan salahfaham masyarakat awam berhubung perkara tersebut serta tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi mahupun kecenderungan politik.

4. Melihat ketidakhadiran dan juga ketiadaan kenyataan sokongan dari para pemimpin PAS, sebuah parti Islam khasnya dari alim-ulamanya yang utama dan merupakan sekutu dalam Muafakat Nasional semasa majlis sumpah tersebut secara tidak langsung menunjukkan ketidaksetujuan mereka dengan majlis tersebut.

5. Pihak Biro menggesa keprihatinan semua pihak agar dengan kenyataan tegas Mufti tersebut, selepas ini tiada lagi perbuatan seumpama itu diulangi oleh mana-mana individu/pihak serta fungsi masjid terutamanya diletakkan pada kedudukannya yang benar dalam masyarakat sepertimana yang digariskan dalam kenyataan media pihak Mufti.

6. Akhirnya, pihak Biro berharap agar institusi Mufti seluruh negara terus-menerus memberikan teguran dan nasihat samada kepada pihak Kerajaan, pembangkang dan juga mana-mana pihak terutama berhubung perkara-perkara yang menyalahi Syariat Islam.

 

Mohd Zulkhairi bin Ab Aziz
Pengerusi Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah,
Parti Amanah Negara Kawasan Jasin.