Pekerja-Pekerja Kebersihan Sekolah Adalah Dipilih Dan Dilantik Oleh Syarikat Yang Mendapat Kontrak Kebersihan, Bukan Dibuat Oleh KPM

Berhubung isu pembuangan atau pengurangan pekerja-pekerja kebersihan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin menjelaskan bahawa KPM tidak terlibat dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pekerja-pekerja kebersihan. Ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak.

Jumlah tenaga kerja yang digunakan bergantung kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk menyediakan perkhidmatan kerja-kerja kebersihan di bangunan dan kawasan (KBK) bagi sekolah atau institusi pendidikan di bawah KPM. Syarikat-syarikat tersebut perlu mematuhi syarat-syarat dan skop yang ditetapkan dalam kontrak.

Selari dengan dasar mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan Kerajaan yang diamalkan sekarang, KPM telah mengubah skop kontrak perkhidmatan kerja-kerja kebersihan bagi syarikat-syarikat yang kontraknya berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Di bawah skop lama, penentuan bilangan  pekerja adalah dengan mengambil kira enrolmen murid dan penghuni asrama. Namun, criteria tersebut tidak lagi digunakan sepenuhnya dalam penentuan bilangan kontrak KBK bermula 1 Januari 2019.

Dengan ini, bilangan pekerja kebersihan yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya dua orang bagi Sekolah Kurang Murid (SKM) iaitu sekolah yang mempunyai  150 orang murid dan kurang, mengambil kira keperluan minimum iaitu seorang pekerja bagi pembersihan bangunan dan seorang pekerja bagi pembersihan kawasan dan lanskap sekolah. Walau bagaimanapun bagi sekolah bukan kategori SKM, bilangan pekerja bergantung kepada keluasan sekolah, bilangan blok, aras dan bilangan bilik air.

Skop kontrak perkhidmatan ini hanya melibatkan syarikat-syarikat baharu bagi menggantikan syarikat-syarikat yang telah tamat kontrak mereka pada 31 Disember 2018.

Syarikat-syarikat yang terlibat biasanya boleh atur pekerja-pekerjanya ikut keperluan kontrak kerja, yang tidak hanya bergantung kepada projek kebersihan sekolah bagi menempatkan pekerjanya. Syarikat-syarikat yang diberikan kontrak juga dinasihatkan menjaga kebajikan pekerja masing-masing.

Berhubung pandangan supaya murid turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan, KPM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara tersebut.