Ramai yang tidak faham hari ini kenapa Najib masih bebas?
Ditambah pula kekeliruan yang timbulkan oleh pembangkang yang menimbulkan persoalan; jika Najib bersalah, kenapa tidak penjarakan sahaja Najib?
Adakah kerajaan hanya main tuduh sahaja dahulu tanpa ada bukti yang lengkap?
Seorang peguam telah tampil menjawab persoalan ini yang mana menurut beliau banyak menjadi kekeliruan terutama di kalangan penyokong pembangkang.
Beliau yang menjawab di status FB terbarunya telah memberikan penjelasan panjang lebar mengenai prosedur bagi perbicaraan kes-kes jenayah sebagai jawapan kepada kekeliruan yang sengaja ditimbulkan itu.
Berikut kami siarkan tulisan peguam tersebut;
Perjalanan Kes Jenayah
1) Laporan Polis dibuat mana-mana pengadu. Ini dipanggil FIR – First Information Report.
2) Kertas Siasatan (IP – Investigation Paper) dibuka oleh Pegawai Penyiasat (IO- Investigating Officer)
3) Selesai siasatan, IP akan diserah kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP – Deputy Public Prosecutor) untuk pertimbangan perlu dakwa atau tidak (ada kes atau tidak).
4) Jika ada kes, tertuduh akan diminta hadir ke mahkamah atau dalam sesetengah kes tertuduh akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah.
5) Dalam masa 24 jam dari masa tangkapan, tertuduh perlu dibawa ke mahkamah dan jika perlu polis akan pohon perintah tahan reman untuk siasatan lanjut. Biasanya reman maksimum ialah sebanyak 14 hari dan boleh disambung lagi dengan izin mahkamah.
6) Selesai tempoh tahanan reman di lokap atau jika DPP berpendapat tak perlu tahan reman, maka tertuduh akan dibawa sekali lagi ke mahkamah dan pertuduhan akan dibacakan kepada tertuduh.
7) Jika tertuduh terus mengaku salah, maka hukuman akan dijatuhkan oleh mahkamah.
8) Jika tertuduh tidak mengaku salah, kes akan ditangguhkan dan mahkamah akan arah tertuduh bayar wang jaminan jika ingin berada di luar penjara sepanjang perbicaraan kes.
Jika wang jaminan tidak dibayar, maka tertuduh akan kekal di dalam tahanan sementara selesai perbicaraan kes.
Mahkamah juga biasanya akan mengarahkan agar segala dokumen bukti yang akan digunakan untuk tujuan perbicaraan diserahkan kepada tertuduh atau peguamnya.
Ini yang berlaku dalam kes bekas PM Najib.
Bebas Najib hari ini bukan sebab tidak bersalah, tetapi bebas kerana beliau dalam jaminan di mahkamah sementara mengunggu selesai kes dibicarakan.
Kes akan ditangguhkan sekali lagi.
9) Pada tarikh kes seterusnya, mahkamah akan memeriksa sama ada kes telah bersedia untuk dibicarakan atau tidak.
Ini kerana biasanya peguambela akan membuat pelbagai permohonan kepada pendakwa atau mahkamah untuk membantu kes anakguamnya.
Ini termasuklah surat representasi bagi menggugurkan kes atau meringankan pertuduhan ke atas anakguamnya.
Ini yang berlaku di dalam kes LGE.
Kes akan ditangguhkan lagi jika ada keperluan untuk perkara teknikal ini.
10) Selepas selesai perkara teknikal sebagaimana para di atas barulah perbicaraan ditetapkan pada tarikh yang lain.
11) Datang hari bicara, pihak pendakwaan akan memanggil semua saksi mereka.
12) Setelah selesai semua saksi pendakwaan dipanggil, kes pendakwaan akan ditutup. Biasanya kes akan ditangguhkan dahulu untuk membolehkan pihak-pihak menyiapkan hujahan masing-masing.
13) Datang mahkamah sekali lagi. Pendakwaan akan berhujah mengatakan mereka berjaya buktikan kes mereka (prima facie) dan peguambela pula akan berhujah kes pendakwaan tidak memenuhi kriteria pertuduhan (tidak prima facie).
14) Jika mahkamah memutuskan tiada kes prima facie, maka tertuduh akan dilepas dan dibebaskan.
15) Jika mahkamah memutuskan ada kes prima facie, maka tertuduh perlu memanggil semua saksi tertuduh untuk membela diri tertuduh. Kes biasanya akan ditangguhkan sekali lagi ke tarikh lain.
16) Datang mahkamah sekali lagi, selesai panggil semua saksi tertuduh, sekali lagi pendakwa dan peguambela akan berhujah. Ini dipanggil hujah penggulungan di akhir kes pembelaan.
17) Selesai hujah, mahkamah akan buat keputusan di akhir kes pembelaan sama ada tertuduh didapati bersalah atau tidak bersalah maka dilepas dan dibebaskan.
18) Pihak yang tak puas hati dengan keputusan bolehlah membuat rayuan ke mahkamah yang lebih atas dalam tempoh 14 hari.
Kredit FB: Hisham Fauzi