Kenaikan kadar gaji minimum selaras keperluan masyarakat

Kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju kadar gaji minimum ditingkatkan kepada RM1,200 sebulan mengikut keperluan masyarakat di negara ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, seperti sedia maklum, masyarakat yang menerima gaji minimum itu sebenarnya penyumbang kepada ekonomi negara.

“Ini kerana hampir keseluruhan daripada gaji mereka itu, mereka belanjakan untuk putaran ekonomi, jadi peniaga akan dapat manfaat dan mereka yang memberikan khidmat juga dapat manfaat.

“Walaupun kita tahu akan ada sebahagian majikan terkesan, tetapi kita harap dari segi peningkatan ekonomi kita, walaupun berkembang dalam keadaan sederhana tetapi masih berkembang,” katanya.

Adly berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Dialog Berkenaan Isu Banjir di Depan Kedai Hussain Ibrahim Taman Merak Mas, hari ini.

Katanya, majikan boleh mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi itu dan dalam masa sama pekerja juga boleh menguruskan kehidupan mereka dengan peningkatan gaji minimum tersebut.

Untuk rekod, baru-baru ini kerajaan memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Kementerian Sumber Manusia dalam kenyataanya berkata tarikh kuat kuasa perintah gaji minimum baharu mulai 1 Januari ke atas semua majikan dan perintah berkenaan akan diwartakan dalam masa terdekat.