“Kena runding!”, tegur Azmin kepada Umno berhubung agihan kerusi

“Kena runding!”, tegur Azmin kepada Umno berhubung agihan kerusi

Tidak sampai 24 jam selepas Barisan Nasional (BN) mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka semasa PRU-14 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat, ia perlu melalui meja rundingan terlebih dahulu.

Beliau berkata, hanya dengan berunding boleh mengelakkan daripada pertembungan antara parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Runding, runding,” kata bekas Timbalan Presiden PKR yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang berkata, BN mahu kekal bertanding di kerusi yang dimenangi mereka semasa dan selepas PRU-14.

Pada PRU-14, BN memenangi sebanyak 79 kerusi Parlimen dan enam kerusi PRK antaranya PRK Cameron Highlands pada 26 Januari 2019, DUN Semenyih pada 2 Mac 2109, DUN Rantau pada 13 April 2019, Parlimen Tanjung Piai pada 16 November 2019, Parlimen Kimanis 18 Januari lalu dan DUN Chini pada 4 Julai.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberi bayangan bahawa PRU-15 tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

“Pilihanraya lambat lagi. (Kalau dalam masa terdekat berlaku PRU15?). Kalau…jangan kalau, kita fokus kepada ekonomi, isu rakyat, negara. Itu keutamaan kita,” katanya.

Ahad lalu, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan PN bersedia untuk menghadapi pilihan raya sekiranya ia diadakan secara mengejut pada bila-bila masa.

Beliau juga berkata, ini kerana kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah mempunyai kriteria yang mencukupi dalam menangani krisis kesihatan awam, politik dan ekonomi.- MalaysiaGazette

Berita penuh:

https://malaysiagazette.com/2020/07/10/bn-nak-kekalkan-kerusi-azmin-kata-kena-runding/

COMMENTS