Kena kutuk berjemaah di FB tulisan macam budak tadika, MP Kudat padam status

Kena kutuk berjemaah di FB tulisan macam budak tadika, MP Kudat padam status

Selepas mempertahan tuduhan bahawa Youtuber Veveonah Mosibin menipu ketika menjawab peperiksaan di atas pokok menerusi videonya yang tular, Ahli Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri kemudiannya memadam kenyataannya itu di Facebook.

Hantaran Abdul Rahim yang panjang dengan lambakan kesalahan tatabahasa dan ejaan tersebut sebelum ini mendakwa dia dan pegawainya telah membuat siasatan sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Wakil rakyat Bersatu itu berkata ibu bapa pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu tersebut sudah terlalu lama tidak tinggal di kampung Sepatalang seperti didakwa Ketua Kampung Sepatalang, Elwin Madisa dan Ketua Kampung Bilangau Besar, Edward Upak di Daerah Pitas, Kota Marudu.

Jelas Abdul Rahim yang juga Timbalan Menteri Kewangan I, Veveonah dan keluarganya tinggal menetap di pekan Pitas yang mempunyai perkhidmatan internet dan tidak ada rumah di kampung Sepatalang seperti yang didakwa.

“Oleh itu, macam mana pelajar ini boleh mendakwa dia belajar di atas pokok di kampung Sepatalang sedangkan dia sebenarnya tinggal di pekan Pitas,” katanya mengulangi dakwaan Veveonah sengaja bertindak sebegitu kerana mahukan perhatian dan publisiti .

Bahkan, Abdul Rahim yang juga penyandang Ahli Parlimen Kudat untuk empat penggal sejak tahun 2004 itu mendakwa dia sendiri telah membuat siasatan terhadap seorang dekan fakulti dan pensyarah UMS.

Kata Abdul Rahim, pensyarah itu memberitahunya pada ketika itu tiada peperiksaan dalam talian dan hanya sekadar kelas biasa selain pihak universiti membenarkan pelajar tinggal di kampus jika tiada jaringan internet.

Sehubungan itu, katanya, dia mengesyaki Veveonah mungkin mempunyai motif tertentu menerusi video tularnya.

“Daripada dapatan saya tersebut saya curiga bahawa mungkin ada motif tertentu dari penerbitan video yang dimuat naik di Youtube dan ditonton seluruh dunia.

“[…] Telah dimaklumkan bahawa setiap pelajar yang ada masalah serupa ini telah dibenarkan tinggal di kampus universiti supaya pembelajaran mereka tidak terganggu dan ramai pelajar luar bandar dari seluruh negara memilihnya.

“Apa perlu pelajar itu membahayakan diri memanjat pokok dan dimuat naik video sedangkan dia ada pilihan hanya berusaha sedikit ke pekan Pitas sama ada menumpang di sekolah atau tempat awam yang liputan baik dan pilihan terbuka luas.

“Malah difahamkan menurut sumber rumah ibu bapanya pun sebenarnya di pekan Pitas.

“Jika ia terjatuh dari pokok itu sudah pasti malapetaka pada keluarganya dan akan menjadi tragedi pada negara,” katanya panjang lebar di Facebook sebelum kemudiannya dipadam.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/mp-kudat-padam-status-fb-selepas-pertahan-tuduhan-veveonah-menipu/