Kementerian Sumber Manusia tidak bercadang memansuhkan (HRDF)

Kementerian Sumber Manusia tidak bercadang untuk memansuhkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) sebaliknya akan menambah baik tabung berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata pihaknya kini memberikan fokus untuk memperkasakan pemain industri kecil dan sederhana (IKS) menerusi caruman dalam HRDF dan tiada keperluan untuk memansuhkan HRDF.

Menurutnya, HRDF diwujudkan bagi mempertingkatkan industri tetapi kini terdapat sebahagian daripada IKS tidak memanfaatkan caruman dibuat dengan HRDF, mungkin mereka mempunyai masalah dan kekangan tertentu.

“Saya tidak fikir permansuhan HRDF satu keperluan…penyelesaian sedang difikirkan oleh HRDF, termasuklah mengenai kaedah supaya IKS dapat manfaat daripada dana hasil caruman mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Teknikal Jepun Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan beberapa dialog dengan pihak industri khususnya IKS untuk bertukar maklumat kerana industri ini perlukan lonjakkan agar ia akan lebih maju pada masa hadapan.

Mahfuz berkata demikian ketika menjawab kenyataan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) semalam yang berpendapat pemansuhan HRDF tidak perlu, sebaliknya langkah tadbir urus yang lebih tegas perlu dibuat untuk memastikan tiada penyalahgunaan dana.

Sementara itu, Mahfuz berkata pihak kementerian masih menunggu laporan penuh berhubung kejadian seorang pegawai Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kota Bharu yang menendang motosikal yang diletakkan di perkarangan surau institusi berkenaan Jumaat lepas.

Katanya, Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sedang melakukan siasatan dari semua aspek apakah masalah yang berlaku, tetapi hakikatnya apa yang terjadi itu merupakan satu benda yang sangat mengecewakan dan tidak seharusnya berlaku.

“Saya bagi pihak kementerian ingin memohon maaf kepada semua ibu bapa dan penuntut serta orang ramai ekoran kejadian tersebut dan kini saya masih menunggu laporan lengkap daripada JTM sebelum sebarang tindakan dapat diambil,” katanya.

Jumaat lepas, klip video yang memaparkan perbuatan pegawai berkenaan tular di media sosial dan dipercayai berlaku selepas ada pelajar melanggar arahan agar tidak meletakkan kenderaan dalam kawasan ILP bagi mengelakkan kesesakan pada pada hari pendaftaran.