Kementerian Kewangan seru pertimbangan GLC, badan berkanun potong gaji bantu perangi Covid-19

Kementerian Kewangan seru pertimbangan GLC, badan berkanun potong gaji bantu perangi Covid-19

Selepas pengumuman Ketua Setiausaha Negara bahawa kakitangan awam akan menyumbangkan sebahagian elaun selama tiga bulan ke Akaun Amanah Bencana bagi memerangi Covid-19, hari ini Kementerian Kewangan pula menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta Badan Berkanun Persekutuan mempertimbangkan pemotongan gaji dan ganjaran kakitangan mereka secara sukarela.

“Ia sebagai tanda manifestasi solidariti bagi membantu kerajaan dengan mengambil kira situasi semasa,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Kementerian Kewangan berkata, pihak awam dan swasta boleh menyumbang ke dalam Akaun Amanah Bencana yang ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana termasuk penularan Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Selaras Akta Cukai Pendapatan 1967, semua sumbangan kepada Akaun Amanah Bencana oleh individu mahupun syarikat korporat layak mendapat potongan cukai, dengan syarat sumbangan disokong oleh resit rasmi Kerajaan atau dokumen pengesahan/resit transaksi bagi sumbangan yang dikreditkan melalui saluran sistem perbankan rasmi,” katanya.

Katanya, Akaun Amanah Bencana berkenaan ditadbir oleh Jawatankuasa Akaun Amanah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai oleh wakil Kementerian Kewangan, Jabatan Akauntan Negara, Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Pengoperasian akaun ini juga tertakluk kepada undang-undang dan garis panduan rasmi, termasuk pengauditan berkala yang ditetapkan bagi akaun amanah kerajaan,” katanya.

Pada 31 Mei, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa gaji barisan menteri dan timbalan menteri bermula Jun hingga Ogos akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana bagi membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Keesokannya, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali pula mengumumkan bahawa potongan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) atau Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) penjawat awam selama tiga bulan mulai Jun juga akan disumbangkan ke dalam akaun sama.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/05/kementerian-kewangan-seru-glc-badan-berkanun-pertimbang-potong-gaji-elaun-perangi-covid-19/