Kemelut “Pintu Belakang” : Prinsip & Khianat

Kemelut “Pintu Belakang” : Prinsip & Khianat

Semenjak kemelut ini berlaku, pendirian yang perlu ditentukan adalah sangat sukar dan sulit. Sebagai watak kecil dalam parti namun kerap bercakap dan menulis berhubung integriti dan moral politik, terasa perlu mencoret sesuatu sebagai rekod tulisan peribadi. Sungguhpun tulisan ini tiada pemberat mahupun locus standi, sekurangnya saya punyai pendirian yang mampu dipersembah dan direkodkan buat generasi akan datang.

Situasi ini amat buruk, tidak bermoral dan menjijikkan. Bagus dan benar untuk bercakap tentang kedaulatan Islam dan maruah Melayu. Tetapi watak-watak yang bersungguh menggunakan slogan itu bukanlah pejuang Melayu dalam kerajaan lama malah perosak Melayu-Islam. Membiarkan pembelot Melayu-Islam menjadi hero ketika ini adalah perkara yang sama sekali bercanggah dengan prinsip moral dan agama yang saya pegang.

Namun tidak dinafikan, kerajaan PH dahulu telah silap dan salah menanggapi isu Melayu-Islam dengan meremehkan serta mengambil kurang perhatian terhadap sentimen dan kesan polisi serta kenyataan pimpinan kerajaan terhadap isu sensitif. Kegagalan mengawal media kerajaan, kelemahan menguasai media sosial serta sambil lewa menguruskan persepsi dan pengurusan krisis telah memakan diri. Teguran dan kritikan gagal dihadam malah dipersetankan sahaja oleh kebanyakkan pimpinan. Politikus bukan Melayu yang dilihat dan diyakini oleh masyarakat Melayu-Islam sangat mendesak untuk merubah asas dan identiti negara telah berjaya digunakan sebagai peluru ampuh menjustifiksikan tindakan ‘Langkah Sheraton’.

Bukan bermaksud naratif Melayu-Islam perlu tunduk sepenuhnya dengan takrifan UMNO-PAS yang ekstrem ‘kekanan’ (ultra right wing), tetapi dalam ruang masa mandat awal ini, perlunya kepada tolak ansur bagi membina asas mandat yang kuat dan stabil. Untuk itu, kompromi yang perlu diberikan atau the imperative necessary compromise; agar hayat mandat ini tidak berakhir laju. Mungkin apa yang berlaku kepada kerajaan pimpinan Dr. Mohamed Morsi rahimahullah di Mesir boleh diambil iktibar.

Maka; persoalan yang selalu ditanya: apakah pendirian saya dalam kemelut ini? Ia bukan jawapan semudah membezakan antara hitam dan putih. Ada yang menjadikan dalil mengelakkan mafsadah lebih besar dengan terpaksa membiarkan mafsadah lebih kecil. Namun; saya memilih sifat untuk kekal menghormati perjanjian dan tidak khianat kepada rakan yang berkongsi susah dan sukar tatkala ingin menumbangkan kerajaan kleptokrat UMNO-BN. Apatah lagi khianat dengan bersekongkol dengan perosak Melayu-Islam di Malaysia yang terbukti rekod pentadbiran sebelum ini dan sedang ditelanjangkan di mahkamah.

Menolak perosak Melayu-Islam itu juga tidaklah bermakna saya perlu apologetik terhadap kepentingan Melayu-Islam. Untuk rekod, ruang tulisan FB saya ini sudah lama dipenuhi kritikan langsung terhadap gaya pentadbiran dan polisi kerajaan PH sepanjang ia tegak berdiri sebagai kerajaan persekutuan. Benar, saya amat marah dengan sebahagian tindakan dan lagak pemimpin DAP berhubung Melayu-Islam. Saya tidak akan berkompromi dan akan kekal melawan.

Namun, tatkala mereka berpendirian membela ‘kepentingan dan agenda’ bangsa/agama mereka, pimpinan Melayu-Islam kita terus sepi dan bisu bercakap, tiada bingit dan bicara serta tidak juga menjadi jurucakap Melayu-Islam yang diharapkan. Melayu-Islam di Malaysia perlukan hero dan jurucakap yang jujur dan ikhlas bukan sekadar untuk kepentingan politik kepartian. Banyak isu dan permasalahan Melayu-Islam gagal diselesaikan tatkala retorik dijaja kesana sini.

Mandat rakyat perlu dihormati dan bukan dimainkan begini. Negara ini ada identiti dan leluhur asal. Jangan disentuh dan jangan cuba diubah. Orang lama dihormati dan jangan ditekan bagaikan tiada hormat dan tiada nilai. Bila berjanji jangan khianat sekiranya kita juga tidak suka dikhianat kembali. Politik perlu ada akhlak dan moral bukan sekadar opportunis dan gila kuasa.

Abu Hafiz Salleh Hudin
Kuala Lumpur