Keluarga Malaysia ganti nama Kerajaan PN, kata Umno

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk terus menggunakan jenama Keluarga Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, itu antara panduan utama yang dibincangkan dan dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersama Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno.

“Kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan kerajaan PN memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara BN (Umno, MCA, MIC dan PBRS), PN (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam kenyataan media, selepas mesyuarat MKT Umno di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Difahamkan mesyuarat di ibu pejabat Umno itu diadakan untuk membuat pendirian selepas Ismail Sabri mengumumkan barisan jemaah menterinya pagi tadi.

Malaysia

Menurut kenyataan dikeluarkan itu lagi MKT Umno juga bersetuju agar suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat dakwaan mengenai campur tangan politik dalam Jabatan Peguam Negara, institusi kehakiman dan keselamatan seperti didedahkan Tommy Thomas.

Ahmad Zahid berkata, Umno turut menyahut saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus,” katanya.

Umno mahu jadi pelopor

Untuk rekod ketika ini belum ada kenyataan rasmi dibuat Putrajaya mengenai nama rasmi kerajaan yang menguruskan negara.

Sebelum ini Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin – yang melepaskan jawatannya pada 16 Ogos lalu – menegaskan ia masih kerajaan PN yang hanya diketuai Ismail Sabri.

Muhyiddin juga menyatakan sokongan yang diberikan Bersatu kepada Ismail Sabri adalah bersyarat.

Pagi tadi ahli parlimen Bera itu mengumumkan jemaah menteri baru dengan mengekalkan kebanyakan ahli parlimen serta senator yang dipilih Muhyiddin pada tahun lalu.

Menurut Ahmad Zahid lagi kerajaan sekarang mestilah menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Ia termasuklah menambah baik pakej-pakej bantuan rakyat pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

Turut dipersetujui malam ini, kata Ahmad Zahid, Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan.

“Ini termasuklah mewujudkan parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Antilompat Parti dan (mengelakkan) campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/588975

 

BACA JUGA :

Ismail Sabri gagal fahami kebencian rakyat

Kabinet dengan muka sama yang gagal, kata pemimpin PH

Bersatu zahir keyakinan dengan kemampuan kabinet Ismail