Keluarga Adun Melor nafi arwah meninggal kerana vaksin

Keluarga Adun Melor nafi arwah meninggal kerana vaksin

Keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Dr Md Yusnan Yusof, menafikan Allahyarham meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin Covid-19.

Anak keduanya, Mohammad Baihaqi, 28 berkata, keluarga terkilan dengan penyiaran berita di beberapa media sosial mengaitkan kematian bapanya dengan pengambilan vaksin.

Katanya, dakwaan itu tidak berasas berikutan bapanya memang mempunyai masalah kesihatan sebelum ini termasuk penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi, malah pernah mendapatkan rawatan angiogram bagi penyakit jantung yang dihadapi sejak 2016.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan baba meninggal disebabkan ambil vaksin, baba memang sakit malah sakit jantung yang dihidapi tidak mengizinkan beliau bekerja kuat.

“Namun, dia seorang yang aktif dan suka turun padang bertemu masyarakat, malah pagi semalam dia sempat mengagihkan bantuan kepada barisan hadapan,” katanya ketika ditemui di Ketereh, dekat sini, hari ini.

Mohamad Baihaqie berkata, penafian itu dibuat susulan keluarga menerima beberapa kiriman WhatsApp dan pautan hantaran status di laman sosial oleh pihak anti vaksin yang mengaitkan kematian arwah yang sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin Covid-19 pada 9 April lalu.

Sementara, isteri Allahyarham, Romaini Mat Daud, 52 berkata, ketika kejadian, dia sudah tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan Allahuakbar daripada suaminya.

Katanya, sebaik terjaga, dia melihat suaminya sudah berada dalam keadaan kejang.

“Dua, tiga hari lalu dia kerap mengadu tidak sedap badan, malah paras gula dalam badan dia pun kurang stabil, saya nasihatkan dia supaya berehat,” katanya.

Romaini berkata, malam tadi suaminya juga meminta anaknya membuat puding jagung namun tidak sempat menikmati hidangan itu yang sepatutnya dimakan ketika sahur.

“Dia juga meminta anak-anak dan saya menyiapkan biskut raya untuk diagihkan kepada 700 anak mukim bawah DUNnya yang mahu diberikan sempena Aidilfitri pada 6 April ini.

“Malah, kami juga sepatutnya menerima menantu apabila anak sulung, Mohd Auzaie, 29 akan berkahwin pada Aidilfitri keempat, namun dia pergi dulu,” kata Romaini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Dr Md Yusnan yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hassan, Ketereh jam 2.30 petang.

Allahyarham yang menjadi Adun Melor sejak 2013 meninggalkan isteri serta enam anak dan dua cucu

Berita penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/700823/baba-meninggal-bukan-sebab-vaksin