Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meluluskan lima projek utama bernilai kira-kira RM1.4 bilion bagi pembangunan negeri itu.
Ahmad berkata penghargaan sama turut diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas kunjungan hormat ke pejabatnya dua hari lepas, bagi mempengerusikan mesyuarat kali pertama Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan.
Beliau berkata Mohamed Azmin pada mesyuarat itu turut mengumumkan lima projek yang telah diluluskan, termasuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 3 sepanjang 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat.
“Turut diluluskan projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jalan raya menghubungkan Pasir Puteh, Machang dan Jeli, jambatan Palekbang di Kota Bharu dan pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road sepanjang 123km,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan pelantikan Mohamed Azmin selaku pengerusi MTNg Kelantan sebagai pemilihan yang tepat dan kerajaan negeri akan memberi kerjasama terbaik kepada kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan semua projek diluluskan itu.
Dalam kenyataan sama, Ahmad turut menyatakan sokongan penuh di atas keputusan Perdana Menteri bahawa tidak akan ada lagi lantikan politik dalam MTNg.
Katanya buat pertama kali struktur majlis itu dirombak dan lantikan hanya melibatkan pegawai kerajaan negeri dan Persekutuan sahaja.