Kekal dalam kerajaan atau keluar, mesyuarat 25 April saksikan pertembungan dua kem

Kekal dalam kerajaan atau keluar, mesyuarat 25 April saksikan pertembungan dua kem

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 25 April ini dijangka menyaksikan pertembungan dua kem iaitu kem ahli-ahli majlis tertinggi parti menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi kem ahli MKT menyebelahi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, pertembungan dua kem itu dijangka tidak dapat dielakkan kerana UMNO kini sedang berhadapan persimpangan dilema dalam menentukan hala tuju dan nasib parti itu bagi mengharungi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Jelas beliau, kem Ismail Sabri yang disokong ahli-ahli MKT cenderung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan pemimpin UMNO ‘kluster menteri’ serta kem Ahmad Zahid didukung pemimpin ‘kluster mahkamah’ dan berkecuali dijangka akan memberi pendirian masing-masing berhubung dua persoalan utama.

“Persoalan pertama adalah mengenai keperluan UMNO menarik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan PN dengan kem Ismail Sabri dijangka akan lebih rasional membicarakan perkara itu.

“Persoalan kedua pula mengenai kewajaran pemilihan UMNO diadakan mengikut jadual. Dalam menentukan perkara itu, saya menjangkakan kem pro-Presiden UMNO akan berusaha memastikan proses diwajibkan Perlembagaan UMNO itu akan ditangguhkan semaksimum 18 bulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas desas-desus mesyuarat MKT UMNO yang akan diadakan pada 25 April ini bakal membuat keputusan sama ada pemilihan UMNO akan diadakan mengikut jadual atau ditangguhkan.

Sekiranya mengikut Perlembagaan UMNO, proses pemilihan perlu diadakan setiap tiga tahun sekali dengan tempoh penggal kepimpinan parti sedia ada berakhir pada bulan Jun.

Bagaimanapun, perlembagaan juga menyebut pemilihan UMNO boleh ditangguhkan kepada 18 bulan, dengan syarat alasan penangguhannya diterima Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Selain itu, mesyuarat MKT tersebut juga bakal menjadi penentu hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada hujung bulan lepas sebulat suara memberikan mandat kepada badan tertinggi UMNO itu untuk menentukan tempoh kepada parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Dalam pada itu, Syed Agil berkata, di sebalik apa jua isu-isu bakal diperdebatkan dua kem berkenaan dalam mesyuarat MKT UMNO kelak, beliau berharap ahli-ahli MKT tidak mengambil satu sikap terburu-buru, sentiasa bersikap rasional dan meletakkan kepentingan rakyat mendahului kepentingan parti.

Jelas beliau, MKT UMNO harus mengambil kira cabaran kerajaan sedia ada dalam mendepani kemungkinan gelombang keempat Covid-19 sebelum membuat keputusan yang membelakangkan kepentingan rakyat.

“Selain itu, mesyuarat MKT kali ini juga adalah merupakan satu platform untuk semua parti di luar sana merancang strategi politik terkini sama ada mereka boleh membentuk jajaran kerjasama politik baharu dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) atau tidak.

“Sebagai contoh, adakah UMNO dan BN akhirnya akan mula mempertimbangkan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP? Atau mereka akhirnya pertimbang untuk kembali bersama Perikatan Nasional (PN).

“Persoalan-persoalan itu pastinya akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT itu kelak bersama tuntutan penjelasan daripada Ahmad Zahid mengenai insiden rakaman perbualan telefon tular suara mirip beliau bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua ini perlu diperjelaskan dalam mesyuarat itu demi mengukuhkan kembali kepimpinan parti,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135123/BERITA/Politik/Dua-kem-UMNO-penentu-hala-tuju-PRU15