Kekal ‘ASEAN Centrality’ jalin kerjasama dengan rakan dialog – Mohamad Sabu

Malaysia mahu ASEAN Centrality kekal sebagai prinsip utama dalam  menjalin kerjasama dengan rakan dialog agar dapat memanfaatkan 10 negara  anggota ASEAN, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata Malaysia telah menyuarakan kepentingan untuk memastikan ASEAN Centrality ketika menghadiri Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-13 di Bangkok semalam.

“ADMM merupakan platform tertinggi kerjasama pertahanan antara negara ASEAN.

“Keputusan bersama yang dicapai haruslah bebas dari pengaruh luar dan seterusnya memberi manfaat sepenuhnya kepada negara ASEAN.

“Misalnya, kalau kita mahu menerima rakan  dialog daripada mana-mana kuasa besar, ia hendaklah mengambil persetujuan bersama (negara anggota ASEAN). Ini yang diamalkan selama ini dan kalau kesemua 10 negara anggota bersetuju, ia (adalah) pendirian bersama,” katanya kepada Bernama di sini.

Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwan mempengerusikan ADMM ke-13 yang bertemakan ‘Keselamatan Mampan’ di sini semalam. Kesemua 10 menteri pertahanan dan Setiausaha Agung ASEAN Datuk Lim Jock Hoi menghadiri mesyuarat itu.

Kesemua Menteri Pertahanan negara ASEAN juga menandatangani Deklarasi Bersama mengenai Kemampanan Keselamatan.

Deklarasi Bersama itu menekankan peri pentingnya untuk bekerjasama dalam menjaga keselamatan dan kestabilan di rantau ini serta menerokai bidang-bidang kerjasama baharu yang bakal memanfaatkan negara anggota.

Mohamad berkata Malaysia akan terus memberi komitmen dan sokongan sepenuhnya kepada pelaksanaan inisiatif yang telah dipersetujui dalam deklarasi antaranya pelaksanaan inisiatif ke arah meningkatkan dan melestarikan kerjasama pertahanan kalangan negara ASEAN.

“Terdapat pelbagai inisiatif telah dipersetujui, antaranya ASEAN Our Eyes dan Guidelines for Maritime Interaction yang mempamerkan usaha ADMM untuk mengoptimumkan perkongsian maklumat, membina kepercayaan dan keyakinan serta melestarikan kerjasama pertahanan antara negara ASEAN bagi menghadapi cabaran keselamatan serantau,” katanya.

Deklarasi Bersama Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN mengenai Kemampanan Keselamatan itu menekankan peri pentingnya untuk bekerja bersama-sama dalam menjaga keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan meneroka bidang kerjasama baharu yang saling memberi manfaat.

Mesyuarat turut menerima pakai enam kertas konsep, sebagai keterangan bagi menunjukkan hasrat ASEAN untuk memperkukuhkan kerjasama dalam menangani cabaran keselamatan utama serantau.

Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang dengan jiran tertuanya, Thailand.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan paling lama dan tertua di ASEAN. Kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang sudah lama terjalin. Kami mempunyai hubungan yang erat sekali.

“Sehubungan itu, kerjasama dengan Thailand bukan satu perkara yang baharu malah ia akan diperhebatkan dan diperkukuh  dari semasa ke semasa dalam pelbagai bidang khususnya menghadapi penyeludupan dadah dan manusia.

“Selain itu, kami juga berkongsi maklumat menghadapi ancaman keganasan dan mengukuhkan kerjasama keselamatan,” katanya.

Sebagai acara sampingan mesyuarat ADMM ke-13, Mohamad dan menteri-menteri pertahanan ASEAN telah melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha.

Prayuth, yang juga Menteri Pertahanan yang baharu juga memuji pencapaian dan komitmen ADMM dalam memajukan ASEAN dan beliau yakin kerjasama rapat antara pertubuhan pertahanan negara anggota ASEAN akan menjadikan ASEAN lebih kuat.

Dalam lawatan kerja ke Bangkok kali ini, Mohamad juga mengadakan mesyuarat dua hala bersama Prawit dalam usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Thailand.

“Fokus utama perbincangan membabitkan keselamatan sempadan dua negara dan membanteras keganasan di selatan Thailand,” katanya dalam catatan di akaun Twitter.