Kejam !!! Lelaki pijak kepala, tumbuk, sorok mayat kanak-kanak 2 tahun

Seorang penganggur hari ini dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Rayuan di sini atas perbuatan kejamnya menganiaya seorang kanak-kanak dua tahun dengan menumbuk, memijak badan dan kepala, serta memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa yang sudah tidak bernyawa dan menyorokkan mayatnya dalam sebuah tong ikan dipenuhi ais.

Panel tiga hakim yang diketuai Kamaludin Md Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Affandi Fauzi Ramlee, 39, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula hari ini.

Sebelum ini, lelaki itu didakwa atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bagaimanapun Mahkamah Tinggi Alor Setar di Kedah melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan itu.

Lelaki pijak kepala, tumbuk, sorok mayat kanak-kanak 2 tahun

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mula mendera mangsa dengan menumbuk, mencubit, menjentik dan memijak badan serta kepala mangsa beberapa kali sehingga tulang rusuknya patah.

Hari ini, pendakwaan yang merayu terhadap keputusan itu, bagaimanapun mengemukakan pertuduhan pilihan, iaitu menganiayai kanak-kanak berkenaan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang dibaca bersama Seksyen 31 (5) (b) akta sama, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun.

Kamaludin berkata, walaupun tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu, tetapi mahkamah perlu mengambil kira faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman.

“Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh ke atas mangsa terlalu kejam. Kita tidak dapat membayangkan seksa dan penderitaan yang dialami kanak-kanak itu,” katanya yang bersidang bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Hashim Hamzah.

Terdahulu, peguam Kee Wei Lon yang mewakili tertuduh berkata, walaupun anak guamnya dilepas dan dibebaskan, tetapi dia tetap hadir ke mahkamah hari ini dan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang menunjukkan tertuduh benar-benar insaf serta mengambil tanggungjawab atas perbuatannya.

Beliau berkata, anak guamnya telah menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mencederakan kakak mangsa berusia empat tahun dan dibebaskan pada 15 April 2020.

Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali memohon hukuman penjara maksimum 10 tahun atas alasan ia kesalahan serius kerana perbuatan tertuduh terhadap kanak-kanak itu sangat kejam.

“Yang Arif, tertuduh pernah menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kes lain, iaitu kes mencederakan kakak mangsa. Ia tiada sebarang kaitan dengan kes kanak-kanak ini. Saya memohon jika hukuman penjara dikenakan, maka ia perlu bermula hari ini,” katanya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah pada 2 pagi antara 24 Okt 2016 dan 24 Nov tahun sama.

Berdasarkan fakta kes, kanak-kanak itu bersama ibu dan kakaknya menumpang di rumah tertuduh sebelum lelaki itu mula mendera mangsa dengan menumbuk, mencubit, menjentik dan memijak badan serta kepala mangsa beberapa kali sehingga tulang rusuknya patah.

Pada 27 Okt 2016, lelaki itu menolak mangsa sehingga jatuh terduduk dan tersembam. Mangsa kemudian bangun dan berjalan dua tiga langkah dan terus tersembam atas lantai dan tidak bangun.

Tertuduh menarik mangsa dan memasukkan gunting ke dalam mulut mangsa untuk menghalang mulut tertutup, bagaimanapun mangsa tidak bergerak selepas itu dan ibunya mendapati anaknya sudah keras, sejuk dan tidak lagi bernyawa.

Menurut ibu mangsa, lelaki berkenaan melarangnya membawa anaknya ke hospital kerana mahu mengelak daripada siasatan polis dan tertuduh juga mengetuk kepala wanita itu dengan parang bagi mengelakkan dia berbincang mengenai hal berkenaan.

Keesokannya, wanita berkenaan memberitahu tertuduh, ada lendir keluar daripada hidung mangsa dan berbau, lalu tertuduh menutup mayat menggunakan toto dan menyorok mayat itu dalam sebuah tong ikan dipenuhi ais.

Bagaimanapun, perbuatannya terbongkar selepas ibu mangsa meminta pertolongan jiran sebelum memaklumkan kepada polis.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/05/tumbuk-pijak-kepala-sorok-mayat-budak-penganggur-dipenjara-8-tahun/

BACA JUGA : Melaka bakal jadi medan uji pertembungan Umno dan Bersatu

COMMENTS

Wordpress (0)