Kedai cermin mata boleh beroperasi sewaktu PKP – Menteri Wilayah

Perkhidmatan optometri (pusat kesihatan mata) dan kedai optik, yang sebelum ini tidak dibenarkan beroperasi di kawasan yang diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), kini dibenarkan untuk dibuka dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

“Ya, perkhidmatan optometri sekarang diizinkan untuk beroperasi. Ya, memang termasuk dalam industri penting,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa hari ini.

Ketika dihubungi, Annuar mengatakan keputusan itu dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Semalam, Persatuan Pengamal Optik Malaysia (Mapo) dan Persatuan Optometri Malaysia (MOA) mendesak kerajaan untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan industri ini beroperasi dalam tempoh dua minggu PKP.

Mereka menegaskan bahawa mereka harus masuk dalam senarai “industri penting”.

MOA menganggarkan industri mengalami kerugian RM108 juta sebulan semasa PKP terbaru yang dilaksanakan di lima negeri dan tiga wilayah persekutuan.

Pada mulanya, pakar optik berada dalam senarai industri yang tidak dibenarkan di bawah PKP.

Walau bagaimanapun, Sabah, yang merupakan salah satu negeri di bawah PKP sejak 13 Januari, membenarkan pakar optometri yang telah mendaftar dengan badan profesional masing-masing untuk beroperasi.

Semalam, kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan perkhidmatan dobi layan diri di kawasan di bawah PKP beroperasi.

MK

COMMENTS

Wordpress (0)