Kedah pelawa syarikat luar rebut peluang pemindahan teknologi – Mukhriz

47a822c04c8fba1b59f27a54d13602275c6267e18024e

Kedah mempelawa syarikat-syarikat luar merebut peluang dalam bidang pemindahan teknologi dan kepakaran serta pelaburan bernilai tinggi yang ada di negeri itu bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata terdapat banyak peluang pelaburan berimpak tinggi di Kedah ketika ini termasuk Bandaraya Getah di Bukit Ketapang, Padang Terap serta pelaburan dalam sektor aeroangkasa untuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang dirancang sebagai hab kargo udara dan zon industri aeroangkasa di Utara Semenanjung.

“Selain itu, Kedah juga berminat menarik pelaburan ke Zon Khas Ekonomi Sempadan dan Taman Industri Sains dan Teknologi di Bukit Kayu Hitam yang merupakan kawasan pertumbuhan baharu,” katanya dalam temubual bersama saluran televisyen satelit, Shaanxi TV China pada Selasa.

Program itu akan disiarkan di saluran televisyen itu pada Sabtu.

Mukhriz dalam rangka lawatan kerja selama seminggu ke Xi’an dan Shanghai sejak 11 Ogos untuk meneroka peluang kerjasama dan menarik pelaburan dari China.

Katanya pelaburan berimpak tinggi bukan sahaja disasarkan dari China, malah dari negara-negara yang berminat untuk beroperasi dalam pelbagai sektor industri di Kedah.

Sehubungan itu, katanya Kedah menubuhkan pusat setempat bagi memudahkan urusan penilaian dan pemprosesan cadangan-cadangan pelaburan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi di negeri itu.

Mukhriz turut berkongsi mengenai potensi besar Kedah dalam sektor pertanian antaranya penanaman padi, getah, kelapa sawit dan durian, manakala bagi sektor galian, negeri itu mempunyai sumber bijih besi, pasir, batu kapur, kuaza, marmar dan zeolite.

Katanya walaupun kerajaan Kedah mahu merancakkan pertumbuhan sektor industri, namun khazanah alam negeri akan tetap dipelihara dan dijaga, bukan sahaja untuk mengekalkan sumber semula jadi, malah sebagai tarikan pelancong.

Mengenai lawatan ke China, Mukhriz berkata ia bertujuan mendedahkan potensi Kedah dalam sektor pelancongan, perusahaan dan pertanian serta mengenalpasti peluang-peluang di bawah dasar insiatif ‘Belt and Road’ yang diperkenalkan kerajaan China.

Katanya pelaburan China di Kedah sehingga Mac tahun ini berjumlah USD 2.29 bilion (USD 1 = RM4.19), berbanding USD 1.08 bilion sepanjang 2018 dan USD 773 juta pada 2017.

Antara syarikat China yang beroperasi di Kedah ialah Yangfeng Malaysia Auto Interior System Sdn Bhd yang memasang alat kawalan suhu automatik pengeluar kaca panel solar, selain Jinjing Technology Malaysia Sdn Bhd dan XSD International Paper Sdn Bhd yang menghasilkan kertas dan bahan cetakan.

BERNAMA