Kebenaran pengembara kuarantin dirumah bakal cetus penularan varian Lambda

pengembara

Kebenaran pengembara kuarantin dirumah bakal cetus penularan varian Lambda. Keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada pengembara luar negara menjalani kuarantin di rumah, berisiko ‘membuka pintu sempadan’ kepada penularan mutasi COVID-19 berbahaya seperti varian Lambda.

Pakar virologi dan epidemiologi berpandangan beberapa kelonggaran lain yang diumum kerajaan seperti kebenaran rentas negeri dan makan di restoran, turut berisiko memburukkan penularan pandemik itu serta menambah beban sistem kesihatan awam yang berada di tahap kritikal ketika ini.

Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, berkata pengembara luar yang lengkap divaksin, masih berisiko dijangkiti dan menularkan virus dari negara luar, sekali gus berpotensi menjadi pembawa mutasi berbahaya yang belum ada di Malaysia.

Sehubungan itu, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) itu tidak bersetuju dengan kelonggaran berkenaan dan berharap kerajaan menangguhkannya sehingga kadar vaksinasi mencecah 80 peratus daripada populasi negara.

 pengembara

Kebenaran pengembara kuarantin dirumah bakal cetus penularan varian Lambda

“Vaksin hanya mengurangkan kebarangkalian mendapat kesan jangkitan teruk, namun mereka tetap boleh dijangkiti dan membawa mutasi luar seperti Delta Plus dari India atau Lambda dari negara Amerika Latin dan menularkannya di Malaysia.

“Australia dan China sebelum ini hampir bebas COVID-19, tetapi kerana kelonggaran pintu masuk, mereka kini diserang varian Delta dan terpaksa melaksanakan kembali perintah berkurung. Kelonggaran pintu sempadan juga punca kita diserang Delta.

“Setakat ini, kekalkan peraturan ketat untuk pengembara luar iaitu wajib disaring sebelum dan semasa tiba ke Malaysia, dipakaikan gelang, ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan serta perlu menjalani saringan tiga kali sebelum boleh bergerak bebas dalam negara,” katanya kepada BH, hari ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin COVID-19, membabitkan aktiviti rentas daerah dan negeri, ekonomi serta sosial.

Antaranya, pengembara luar negara dibenar menjalani kuarantin wajib di rumah, selain penerima vaksin lengkap di negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ke atas boleh makan di restoran serta melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri bermula hari ini.

Pakar epidemiologi UM, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, pula berpandangan kebenaran pengembara luar negara kuarantin di rumah, rentas negeri dan makan di restoran, berisiko memburukkan penularan COVID-19 serta menambah beban sistem kesihatan awam yang kini berada di tahap kritikal.

Beliau berkata, kebenaran pengembara luar negara kuarantin di rumah berisiko menyebabkan penularan varian import dan mencetus penularan besar-besaran seperti kluster PUI Sivagangga tahun lalu, jika mereka tidak patuh arahan kuarantin.

Katanya, ia boleh dilaksanakan jika kerajaan melaksanakan syarat dan pemantauan ketat, termasuk memanjangkan tempoh kuarantin wajib sehingga 21 hari kepada mereka.

“Beberapa perkara perlu dipastikan, antaranya pengembara mesti memiliki bukti vaksinasi lengkap yang tulen dan meyakinkan, tidak bergejala dan keadaan rumah membolehkan kuarantin dilakukan.

“Jika rumah sempit dan terlalu ramai penghuni, kuarantin sukar dijalankan dengan betul, selain perlu dipastikan tiada individu berisiko di rumah seperti orang yang mempunyai sistem keimunan lemah, contohnya penghidap kanser.

“Selain itu, perlu dipastikan tempoh kuarantin cukup lama iaitu antara 14 hingga 21 hari untuk mengurangkan kemungkinan varian import dan tidak keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin.

“Kita tidak boleh lupa kluster Sivagangga yang timbul disebabkan ketidakpatuhan orang menjalani kuarantin di rumah,” katanya.

Berhubung kelonggaran penerima vaksin lengkap merentas negeri bertemu pasangan dan anak serta makan di restoran, Awang Bulgiba berkata, belum tiba masanya ia dilaksanakan kerana jumlah kes harian COVID-19 masih tinggi dan kadar vaksinasi belum mencapai tahap imuniti kelompok.

“Apa juga kelonggaran kepada penerima vaksin lengkap belum sesuai kerana kadar kes harian dan penggunaan unit rawatan rapi (ICU) masih tinggi di banyak negeri, sebaliknya perlu tunggu impak ketara daripada vaksinasi,” katanya.

Sementara itu, pakar mikrobiologi klinikal Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi berkata, kelonggaran kepada pengembara luar tidak wajar dilaksanakan secara pukul rata.

Katanya, pelaksanaan kuarantin wajib perlu dibuat di pusat kuarantin kerajaan bagi pengembara dari negara tertentu khasnya negara Amerika Selatan, bagi mengurangkan risiko penularan mutasi berbahaya seperti varian Lambda yang berasal dari Peru.

“Pengembara dari negara Amerika Selatan, Brazil dan Afrika Selatan tidak boleh dibenarkan kuarantin di rumah, sebaliknya perlu dipantau dan diletakkan di pusat kuarantin jika mereka tiba ke Malaysia,” katanya.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM itu turut menyarankan kerajaan mewajibkan penerima vaksin lengkap melaksanakan ujian saringan COVID-19 jika mahu merentas negeri menemui pasangan atau anak bawah 18 tahun.

“Bagi rentas negeri untuk bertemu pasangan, mungkin tiada masalah kerana kedua-duanya perlu lengkap divaksin, dengan syarat individu merentas negeri tidak merayap ke tempat lain dan bertemu ahli keluarga lain yang belum divaksin.

“Kelonggaran bertemu anak pula agak membimbangkan kerana remaja dan kanak-kanak bawah 18 tahun belum divaksin, sekali gus mencetus risiko jangkitan daripada ibu bapa yang merentas negeri.

“Jika mahu kurangkan risiko, kerajaan perlu meletakkan syarat supaya penerima dos lengkap vaksin tetap perlu menjalani saringan COVID-19, termasuk menggunakan kit ujian kendiri dan boleh merentas jika negatif,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/849642/buka-pintu-sempadan-boleh-bawa-penularan-varian-lambda

BACA: Lelaki ini mahu bunuh wanita yang kelihatan gembira