Ke mana halatuju kerajaan melayu Islam Perikatan nasional

Ke mana  halatuju kerajaan melayu Islam Perikatan nasional

1 Mac 2020 adalah satu lagi peristiwa bersejarah dalam demokrasi dan landskap politik tanahair apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia ke-8. Isu ini jika dipanjangkan ke mahkamah akan mencetuskan sekali lagi krisis Perlembagaan. Maka, tertubuhlah sebuah kerajaan baharu yang dipanggil Kerajaan Perikatan Nasional (PN). PN adalah gabungan beberapa buah parti politik termasuk UMNO dan PAS. Tidak kedengaran ucapan tahniah daripada negara luar mahupun gerakan Islam antarabangsa.

Ada yang menggelar kerajaan pintu belakang dan ada yang mengaku kerajaan tebuk atap. Yang pasti, ia bukan datang daripada mandat rakyat sepertimana Pakatan Harapan (PH). Ia sebuah kerajaan yang ditentukan oleh sokongan Ahli Parlimen yang mahukan kuasa tanpa mempedulikan semangat demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan. Hakikatnya, kerajaan PN tiada bendera dan manifesto. Jika diambil manifesto satu parti pun sepertimana PAS janji hapuskan PTPTN, PAS pasti mungkir janji.

Kedua-dua parti Melayu Islam iaitu UMNO PAS ini sudah melancarkan kempen kerajaan Melayu Islam sebelum PRU ke-14 lagi. Walaupun mereka gagal, usaha ini berterusan selepas PH menubuhkan kerajaan di Putrajaya dengan membentuk Muafakat Nasional (MN). Mereka membangkitkan isu perkauman dan apa sahaja isu yang berlaku dalam negara dikaitkan dengan kesalahan bangsa lain terutamanya kaum Cina.

Ada yang termakan hasutan ini sehingga menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu. Kebimbangan kerajaan PH dikuasai orang Cina menjadi bualan orang Melayu di bawah yang membawa kepada pembentukan kerajaan Melayu Islam PN. Rakyat dikhayalkan seolah-olah lupa dosa rasuah dan rompakan duit rakyat berbilion ringgit pemimpin UMNO. UMNO adalah parti yang korup. Kini, UMNO menjadi kerajaan semula walaupun kalah dalam pilihanraya. Inilah pengkhianatan yang gagal difahami oleh sesetengah tokoh agama.

Apakah yang dimaksudkan dengan kerajaan Melayu Islam? Ia lebih mudah difahami, kerajaan yang diperintah oleh pemimpin berbangsa Melayu. Melayu yang bagaimana, itu tidak dipeduli. Biarlah mereka perasuah, perompak atau penzalim, asalkan mereka Melayu. Nilai dan peribadi Islam itu tidak penting, asalkan Melayu. Orang Melayu lupa bahawa kerajaan tidak menentukan siapa ke syurga atau siapa ke neraka. Yang menentukan syurga neraka ini adalah amalan sendiri. Sejarah empayar Islam jatuh kerana pemimpin yang korup dan zalim. Jelas, garis sebuah kerajaan adalah keadilan. Jika kerajaan PN tidak dibentuk atas garis keadilan, apa yang boleh diharapkan dasar pentadbirannya.

Melayu Islam adalah penduduk asal bumi Malaysia ini dan sebagai seorang Melayu Islam, sudah pasti saya pun mengimpikan sebuah kerajaan Melayu Islam, tetapi kerajaan Melayu Islam yang ada nilai, bersih dan kompeten. Seperti memilih nasi atau roti, nasi itu makanan ruji, tetapi jika berbau dan roti pula segar, kenapa tidak saya memilih roti. Di sinilah, letaknya pilihan di kalangan orang Melayu sama ada kerajaan bertemakan Melayu Islam atau yang berpegang kepada politik nilai.

Adakah benar kerajaan PN ini kerajaan Melayu Islam atau ia hanya mainan politik untuk meracuni pemikiran rakyat. UMNO PAS mendakwa kerajaan PH dikuasai Cina kerana terdapat orang Cina dalam kabinet PH. Ya, memang betul. Tetapi hanya sekitar 35 peratus berbanding kabinet PN yang mana 100 peratus Ahli Parlimen MCA dilantik di dalam Kabinet PN. Saya tidak bersikap rasis, tetapi dengan angka sebegini, bayangkan jika lebih ramai Ahli Parlimen MCA, lebih ramai lagilah Menteri Cina di dalam Kerajaan PN.

Sikap tidak jujur UMNO PAS ini terserlah apabila membisu dengan kenyataan Presiden MCA yang tidak mahu Kerajaan PN dianggap kerajaan Melayu Islam. Bukankah sebelum ini mereka lantang meracuni rakyat namun belang sebenar dapat dilihat apabila tertubuhnya kerajaan PN, mereka takut kepada sebuah parti Cina yang hanya ada 2 Ahli Parlimen. Sekali lagi orang Melayu ditipu.

Ini belum lagi dibincangkan soal hukum hudud, RUU355, LGBT, kilang Carlsberg dan Pusat Judi Genting. Kemana hilang suara Islam PAS? Hakikatnya, PAS juga sebuah parti politik yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kuasa. PAS tidak lagi bercakap tentang isu rasuah dan rakyat, tetapi mereka menggunakan sentimen Islam dan Melayu, asalkan menjadi kerajaan. Tetapi, setelah menjadi kerajaan, apa fungsi PAS, tiada dasar jelas dan polisi yang baik. Mewa masih terpinga-pinga.

Fungsi utama kerajaan adalah menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara sepertimana kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke-3, Thomas Jefferson “the purpose of government is to enable the people of a nation to live in safety and happiness. Government exists for the interests of the governed, not for the governors.” Allah menyebut tentang kemakmuran negara (baldatun tayyibatun) dalam surah Saba’ ayat 15.

Kerajaan Melayu Islam PN pula mengizinkan syarikat Heineken beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan arak bukanlah barang keperluan. Dalam keadaan rakyat mahukan tindakan tegas terhadap pemandu mabuk, kerajaan PN membenarkan operasinya yang mana jualannya tidak sejajar dengan tujuan PKP. PKP adalah tempoh bagi rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. Kenapa kerajaan Melayu Islam tidak sensitif untuk mengawal peningkatan pengambilan arak dari 0.8 liter tahun 2005 kepada 1.7 liter pada tahun 2015. Malaysia pula didakwa menduduki tangga ke-10 negara pengguna arak pada tahun 2016. Hilang sudah suara Islam PAS.

Kerajaan PN ditubuhkan tanpa muafakat politik yang tulen. Muafakat ini rapuh dan sudah retak menanti belah. Pemberian bantuan kerajaan PN tidak akan selamanya mampu menutup konflik politik dalam PN. Kuasa besar politik dalam PN sedang mengatur bidak masing-masing. Mereka mementingkan kuasa tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Dalam keresahan rakyat berhadapan Wabak Covid-19, ramai Menteri PN hilang seolah-olah dikuarantinkan.

Menteri-menteri PN pula dilihat tidak serius dan kompeten menyelesaikan isu rakyat. Ekonomi tidak bergerak dan kebuluran mula terjadi namun tiada langkah konkrit diambil. Petani dan nelayan merungut hasil mereka terbuang. Rantaian bekalan makanan terganggu teruk tanpa pelan pemulihan. Peniagaan kecil sederhana (PKS) yang menguasai 98 peratus perniagaan negara tidak dirangsang. Hampir kebanyakan PKS ini tauke dan pekerjanya daripada orang Melayu Islam.

Hidup orang Melayu semakin susah hari ini. Tetapi Makcik Kiah tetap berkata; “biar papa, asalkan Melayu”. Lama-lama, Makcik Kiah pun akan merajuk. Walaupun dijanjikan macam-macam bantuan, tetapi hidup Makcik Kiah akan kembali susah setelah bantuan habis sebulan dua ini, sedangkan ekonomi yang meleset ini akan berpanjangan entah berapa lama.

Kerajaan Melayu Islam dilihat tidak berfungsi hari ini. Di manakah Islam sebagai penyelesai? Ia adalah umpan politik semata-mata. Menteri PN bila muncul di khalayak pun seperti pelawak, ada yang sudah lari masuk gua menutup akaun twitter dan ada yang berubah menjadi kartun. Saiz Kabinet PN lebih besar daripada PH, ditambah perlantikan Duta Khas sudah pasti membebankan rakyat kerana gaji mereka perlu dibayar. Rakyat yang perlu dibantu, bukan pemain politik yang bersama dalam Langkah Sheraton diberikan habuan politik.

Kini, orang Melayu di persimpangan delima. Di mana wajarnya menyokong sebuah kerajaan Melayu Islam tetapi tidak berkemampuan menyelesaikan masalah rakyat. Sampai bila orang Melayu boleh berpegang kepada frasa “apa sahaja asalkan Melayu”.

Ke mana halatuju kerajaan Melayu Islam PN? Adakah rakyat masih lagi mahu terperangkap dengan sentimen Melayu Islam. Atau orang Melayu semakin matang untuk menerima sebuah kerajaan yang berkongsi kuasa dengan syarat PM seorang Melayu Islam. Islam dan Melayu tetap terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Sikap jujur ini ada pada PH dan bukan PN.

Sumber :