KDN dedah sebanyak RM7.8 bilion habis dibelanja untuk selenggara banduan warga asing

KDN dedah sebanyak RM7.8 bilion habis dibelanja untuk selenggara banduan warga asing

Sebanyak RM7.8 bilion telah dibelanjakan kerajaan untuk menyelenggara banduan warga asing di Jabatan Penjara Malaysia untuk tempoh lima tahun (2015-2019), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Dalam jawapan bertulis, Kementerian Dalam Negeri berkata kos tersebut meliputi 428,466 banduan warga asing ditahan di seluruh institusi penjara Malaysia yang telah melakukan pelbagai kesalahan terutamanya di bawah Akta Imigresen.

KDN berkata kos penyelenggaraan banduan melibatkan penyediaan peralatan, kemudahan, perubatan, makanan, kawalan, pengiringan, emolumen kakitangan dan lain-lain.

Kementerian berkata Jabatan Penjara Malaysia telah mengambil beberapa langkah dalam mengurangkan tanggungan berkenaan.

“JPM telah bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Kedutaan Asing bagi mempercepatkan proses penyediaan dokumen dan penghantaran balik banduan warganegara asing yang telah selesai menjalani hukuman.

“JPM juga melakukan kerjasama dengan pihak mahkamah bagi mempercepatkan proses perbicaraan,” kata KDN.

KDN berkata demikian bagi menjawab soalan Teh Kok Lim (Pakatan Harapan-Taiping) yang mahu mengetahui kos tahunan untuk menanggung warga asing yang ditahan dalam penjara/kem tahanan untuk lima tahun terkini dan rancangan untuk mengurangkan bebanan tersebut.

Selain itu, Kementerian berkata melalui penggubalan Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012, kerajaan menyasarkan banduan warganegara asing yang layak, yang ditahan di penjara Malaysia dipindahkan ke negara asal bagi menjalani baki hukuman dan pemulihan.

Selain itu, katanya lagi, berdasarkan statistik Jabatan Penjara Malaysia sehingga 21 Oktober 2020, seramai 2,056 banduan warganegara asing, yang melibatkan 32 negara, layak dipertimbangkan untuk dipindahkan ke negara asal melalui program tersebut.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-belanja-rm78-bilion-selenggara-banduan-warga-asing-kdn-266684

COMMENTS