Kawasan wabak JE diisytihar di satu daerah di Kedah

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo mengesahkan dua kes jangkitan Wabak Japanese Encephalitis (JE) dikesan di daerah Kota Setar bulan ini.

Memetik laporan FMT, Dr Othman berkata kes pertama dilaporkan berlaku pada 18 Nov, disusuli kes kedua pada 25 Nov, dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

Kawasan wabak JE diisytihar di satu daerah di Kedah

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata, dua kes jangkitan Japanese Encephalitis (JE) bulan ini menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia. (Gambar Bernama)

“Sehingga Khamis lalu, jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di Kedah pada tahun ini adalah 10 kes, berbanding 8 kes pada tempoh sama tahun lalu, peningkatan 25%.

“Tiga daripada 10 kes meninggal dunia.”

Mengulas lanjut, beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan aktiviti kawalan wabak serta-merta.

Antara tindakan itu adalah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

“Pegawai Sains Kaji Serangga juga melakukan kajian entomologi di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terbabit.

“Bagi mencegah penularan penyakit JE, masyarakat diseru supaya mengelakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan racun menghalau nyamuk serta memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah apabila berada di luar rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan menyembur semburan di dalam rumah pada jam 10 malam boleh dilakukan bagi membunuh nyamuk dewasa.

“Orang ramai juga perlu membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah.

BACA JUGA : Dua ADUN PN kekal menjadi pembangkang di Melaka
Wanita maut kemalangan dalam perjalanan ziarah jenazah ibu

Artikel ini disiarkan pada 29/11/2021

COMMENTS

Wordpress (0)