Kawal segera jualan Ivermectin – Persatuan Farmasi Malaysia

Kawal segera jualan Ivermectin – Persatuan Farmasi Malaysia

Kawal segera jualan Ivermectin – Persatuan Farmasi Malaysia. Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menjual ubat Ivermectin.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang berkata ubat tersebut yang belum dibuktikan mujarab untuk merawat dan mencegah COVID-19 telah dijual sama ada secara tertutup mahupun secara terbuka.

Jelasnya, tindakan berani pihak yang cuba mengambil kesempatan itu adalah salah di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

“Saya cadangkan semua pihak ini memainkan peranan yang lebih aktif dan proaktif untuk tutup platform jualan dalam talian yang berleluasa sekarang.

“Sudah tiba masa kerajaan bertegas terhadap mereka ini, pihak berkuasa tidak boleh lagi bersikap lepas tangan.

Ivermectin

“Tindakan perlu diambil untuk menutup platform terbabit agar keselamatan pengguna dapat diutamakan sekali gus membendung gejala tidak sihat ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan ubat itu masih lagi dalam kajian melibatkan 500 pesakit di 12 buah hospital KKM.

Dapatan kajian itu dijangka akan diterbitkan pada September ini sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Laporan kaji semula daripada Cochrane Reviews yang dikeluarkan pada 28 Julai lalu telah menyatakan bahawa kegunaan Ivermectin dalam rawatan jangkitan COVID-19 masih lagi tidak konklusif sama ada untuk kegunaan pencegahan ataupun tujuan rawatan.

“Maka tidak disarankan penggunaan ubat ini dan lebih banyak kajian lebih intensif perlu dilakukan,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini, KKM telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat ini secara off label untuk kajian klinikal sahaja.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/jual-ubat-ivermectin-kkm-mcmc-jangan-lepas-tangan-persatuan-farmasi-malaysia-311494

BACA: Watak seperti Haji Hadi wajar disingkir dari politik negara