Kapasiti 50% penumpang : Dalam tren tak sesak, di stesen tren pulak jadi sesak

Kapasiti 50% penumpang : Dalam tren tak sesak, di stesen tren pulak jadi sesak

Mengurangkan kapasiti dan kekerapan pengangkutan awam semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 hanya akan menyumbang kepada kesesakan, kata seorang pakar pengangkutan.

Rosli Azad Khan, perunding pengangkutan yang berpengalaman lebih 40 tahun itu, berkata prosedur operasi standard (SOP) tersebut adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Katanya, penjarakan sosial dilihat mustahil untuk dilaksanakan berikutan penambahan lebih ramai penumpang di stesen dan platform tren.

“Kapasiti dan kekerapan tren perlu dikekalkan bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Di bawah SOP yang lebih ketat sekarang, perkhidmatan pengangkutan awam bagi darat dan laut, termasuk LRT, MRT, ERL, monorel, bas dan feri, perlu mengurangkan kepada separuh kapasiti berbanding PKP sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata bas dan tren juga akan dikurangkan kekerapan.

Beberapa penumpang mula mengeluh di media sosial susulan kesesakan yang berlaku di stesen tren.

“Langkah ini tidak difikirkan dengan sebaik-baiknya. Kenapa menyusahkan pengguna pengangkutan awam? Segelintir daripada mereka merupakan golongan yang berpendapatan rendah. Mereka tidak mampu untuk memiliki kenderaan sendiri atau membayar kadar tol dan tempat letak kereta yang tinggi,” kata Rosli.

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib, berkata SOP pengangkutan awam membuatkan penumpang lebih terdedah kepada risiko, bukannya melindungi mereka.

“Dari perspektif keselamatan awam, mengehadkan bilangan dan kekerapan pengangkutan awam adalah sesuatu yang masuk akal untuk kawal dan hadkan pergerakan orang awam dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” katanya.

“Tetapi, dari aspek kesihatan awam, ini adalah satu kesilapan kerana ia melibatkan bilangan sama penumpang, bersesak di satu lokasi dengan jumlah pilihan pengangkutan yang terhad dalam masa yang singkat.”

Azrul berkata keadaan sesak seperti di platform tren juga bermakna akan meningkatkan pendedahan dan risiko terhadap jangkitan virus.

“Kita perlu meningkatkan kekerapan tren dan bas bagi memastikan penumpang dapat dibahagikan sekaligus mencipta ruang yang lebih luas di dalam satu kawasan.”

Sementara itu, Persatuan Pengguna Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) menggesa penumpang agar memahami waktu operasi yang baharu bagi memastikan keselamatan mereka.

Katanya, penumpang mesti cuba untuk tidak bersesak di dalam keretapi yang sudah padat dengan penumpang.

“Kami juga memohon agar majikan membenarkan waktu kerja yang fleksibel kepada kakitangan susulan pengurangan (penumpang) ini. Sekiranya semua saling bekerjasama, situasi ini akan dapat diuruskan dengan baik,” kata presidennya, Ajit Johl.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/27/kapasiti-50-penumpang-pengangkutan-awam-hanya-tambah-sesak-kata-pakar/