Kantoi !!! Saksi dedah adik Zahid dapat RM5.9 juta dari yayasan beli dua banglo

Kantoi !!! Saksi dedah adik Zahid dapat RM5.9 juta dari yayasan beli dua banglo

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bagaimana wang RM5.9 juta daripada Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid Hamidi digunakan untuk membeli dua unit lot banglo untuk Yayasan Al-Falah yang dipengerusikan adiknya, Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Tharuzi Mohd Nor, menyediakan carta aliran bagi menunjukkan kepada mahkamah bagaimana wang tersebut diberikan oleh Tetuan Lewis & Co kepada Yayasan Al-Falah untuk pembelian banglo berkenaan.

Kata Tharuzi, berdasarkan siasatannya, untuk pembelian dua banglo di Country Height, Kajang berkenaan, wang berjumlah RM5.9 juta telah dibayar oleh Yayasan Al-Falah kepada pemilik lot, Bee Garden Holdings Sdn Bhd (Bee Garden) dengan menggunakan cek milik Lewis & Co.

Berdasarkan carta aliran itu, Lewis & Co menerima tujuh keping cek daripada Mastoro Kenny IT Consultant & Services (Mastoro Kenny) dan sekeping cek daripada Mubarak Hussain Akhtar Husin pada Nov 2016 – keduanya berjumlah RM7 juta.

Wang itu kemudiannya digunakan untuk membeli dua sijil simpanan tetap pada Jan 2017, sebelum dijual semula (uplift) atas arahan Ahmad Zahid pada harga RM7,019,680.07 termasuk faedah.

Daripada hasil itu, wang RM5.9 juta dikeluarkan daripada akaun Lewis & Co menerusi sekeping cek, dan digunakan untuk membayar pembelian banglo Yayasan Al-Falah kepada Bee Garden.

Bakinya sebanyak RM1,119,680.70 digunakan kembali, juga untuk membeli sijil simpanan tetap.

Menurut saksi ke-66 sebelum ini, Faisalluddin Mohamat Yusuff yang merupakan salah seorang pemegang amanah Yayasan Al-Falah merangkap peguam dilantik untuk urusan dokumen pembelian banglo berkenaan, cek itu diserahkan Nasaee kepadanya untuk diserahkan kepada pengarah Bee Garden.

Katanya, dia dimaklumkan Nasaee bahawa wang itu merupakan sumbangan daripada Ahmad Zahid.

Sepanjang perbicaraan, pasukan pembelaan mencadangkan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi, namun ia dinafikan oleh kedua-dua rakan kongsi Lewis & Co yang hadir sebagai saksi Ogos tahun lalu.

Sementara Nasaee merupakan pengerusi dan lembaga pemegang amanah Yayasan Al-Falah, Ahmad Zahid pula merupakan pemilik Yayasan Akalbudi, serta merupakan pengasas, pemegang amanah, dan penandatangan tunggal yayasan berkenaan.

Semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi, Thazuri mengesahkan yang Ahmad Zahid tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Yayasan Al-Falah, dan Nasaee juga tidak memegang apa-apa jawatan dalam Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Dalam pertuduhan ke-26 pengubahan wang haram, Ahmad Zahid dituduh memberikan arahan pembelian dua unit banglo tersebut, bernilai RM5.9 juta, melalui akaun Lewis & Co, yang merupakan hasil aktiviti haram.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/565791