Kantoi !!! Azmin dedah bekalan vaksin negara ada masalah…

Kantoi !!! Azmin dedah bekalan vaksin negara ada masalah…

Pekerja sektor perkilangan dan pembuatan di zon ekonomi yang rancak seperti di Selangor dan Pulau Pinang antara kumpulan yang akan diberi keutamaan bagi suntikan vaksin COVID-19 untuk sektor berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau mengambil maklum mengenai kepentingan untuk pekerja industri berkenaan termasuk pekerja asing mendapat suntikan vaksin secepat yang boleh, namun negara kini berdepan masalah bekalan vaksin yang masih rendah.

“Kerajaan memang komited dalam melaksanakan program imunisasi ini termasuk kepada pekerja asing. Kita juga ambil maklum Pulau Pinang dan Selangor adalah antara negeri yang menyumbang kepada ekonomi negara kerana wujudnya industri dan aktiviti ekonomi yang rancak.

“Justeru, ini adalah zon yang akan diberi keutamaan untuk mendapat suntikan vaksin bagi pekerja dalam industri perkilangan dan pembuatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat di sini, hari ini.

Mohamed Azmin mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengenai kerajaan negeri itu masih menunggu maklum balas daripada kerajaan pusat berhubung gesaan supaya pekerja sektor industri dan perkilangan yang dikategorikan sebagai barisan hadapan ekonomi diberi keutamaan menerima vaksin COVID-19.

Berhubung sama ada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil langkah mengurangkan kehadiran pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan susulan negara berkemungkinan berdepan gelombang keempat penularan COVID-19, Mohamed Azmin berkata, pihaknya akan menunggu penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, apa yang dilakukan MITI ketika ini adalah melaksanakan langkah awal bagi mengelakkan penularan wabak yang lebih teruk termasuk melalui inisiatif [email protected], yang mana industri dapat berjalan tanpa gangguan jika berlaku kes COVID-19, dengan syarat pekerja yang menjadi kontak rapat diasingkan dan terus bekerja dalam “Safe Work Bubble.”

“Jika ada penilaian risiko yang dikemukakan KKM, kita akan ambil tindakan yang tegas dan sewajarnya kerana kesihatan serta keselamatan rakyat adalah keutamaan kita,” katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/806640/pekerja-kilang-di-selangor-pulau-pinang-diutamakan-vaksin-covid-19