Kawasan perkampungan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di Gua Musang akan dibebaskan daripada status zon merah bermula pagi esok.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang di Pejabat Tanah dan Jajahan di sini hari ini.
Menurutnya, hal tersebut dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan daerah bahawa Kampung Kuala Koh sudah diisytiharkan selamat daripada jangkitan penyakit demam campak.
“Kawalan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan menjaga laluan di Aring 10 ke Kampung Kuala Koh akan dihentikan bermula pukul 8 pagi esok.
“Kita sudah memaklumkan perkara itu kepada semua agensi terbabit dan zon merah bakal ditamatkan,” dipetik Utusan Online hari ini.
Beliau berkata, kes kematian 15 penduduk akibat krisis kesihatan sebelum ini menyebabkan penduduk Orang Asli dihadkan pergerakan mereka bagi mengelakkan penyakit berjangkit itu menular secara meluas.
Orang ramai juga, jelasnya, tidak dibenarkan memasuki kampung itu sejak 12 Jun lalu kecuali mendapat kebenaran terlebih dahulu.
“Bermula pagi esok penamatan zon merah itu akan memberi kemudahan kepada semua pihak untuk membantu kaum terbabit.
“Saya difahamkan banyak badan sukarela akan masuk ke kampung tersebut untuk mengadakan program gotong-royong membersihkan rumah dan kampung Orang Asli,” kata Mohd. Taufik lagi.
Untuk rekod, penamatan status zon merah itu dilaksanakan selepas 26 hari pengisytiharan.
Seorang daripada 30 anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) yang ditempatkan di kawasan wabak itu untuk melaksanakan tugas turut disahkan diserang penyakit cacar air tetapi beransur pulih.
Berita Asal https://malaysiadateline.com/kampung-kuala-koh-bebas-zon-merah-mulai-esok/