Kalimah Allah : Peguam muslim jawab balik Timb Ketua Menteri Sarawak

Kalimah Allah : Peguam muslim jawab balik Timb Ketua Menteri Sarawak

Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar hari ini menegaskan sistem perundangan negara memberikan ruang dan hak kepada setiap pihak yang kalah dalam kes mahkamah untuk mengambil tindakan susulan.

Dia berkata begitu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut Kristian Sarawak berhak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pendidikan dan keagamaan.

Mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing bahawa ahli politik Umno dan PAS tidak perlu masuk campur urusan kehakiman negara dalam isu tersebut, Zainul Rijal berkata, tidak ada sesiapa boleh menafikan hak pihak yang gagal mendapatkan kejayaan dalam satu-satu kes perundangan untuk mengambil tindalan lanjut.

“Kita perlu melihat kepada sistem perundangan kita. Sistem perundangan kita memberikan ruang dan juga hak kepada pihak-pihak yang kalah di dalam satu-satu litigation itu untuk merayu.

“Kenapa kita nak menafikan hak orang yang tidak mendapat kejayaan di mahkamah tinggi untuk merayu?” soalnya.

“Sama ada rayuan itu dibenarkan atau tidak, itu adalah perkara yang kedua, tetapi hak itu diberikan oleh undang-undang, ia bukan satu kesalahan proses,” katanya lagi dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Masing hari ini membidas pemimpin Umno dan PAS kerana membuat gesaan agar kerajaan merayu keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah “Allah”.

Masing berkata ahli politik kedua parti itu tidak patut mencampuri urusan kehakiman negara. Dia juga berkata tuntutan Umno dan PAS itu sebagai tidak masuk akal.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada masyarakat bukan Islam pada 1986.

Mengulas lanjut keputusan mahkamah berhubung isu kalimah Allah, Zainul Rijal yang juga timbalan pengerusi Pembela turut mendesak semua pihak yang berkaitan dengan prosiding tersebut supaya membawa keputusan terbabit ke Mahkamah Rayuan.

“Dan pihak-pihak majlis agama Islam yang masih belum menjadi pihak kepada prosiding ini boleh memohon untuk mencelah.

“Selain daripada itu saya juga mendesak pihak majlis agama Islam atau pun pihak-pihak dalam prosiding tersebut memfailkan rayuan memohon kepada mahkamah tinggi menggantung keputusan membenarkan penggunaan kalimah ini sementara menunggu keputusan mahkamah rayuan kelak,” tambahnya.

Artikel berkaitan : Panas !!! Timb KM Sarawak ‘tibai’ pemimpin Pas, Umno isu kalimah Allah

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/566226