Kalau dasar tangani wabak salah, ekonomi akan sengsara dan tidak akan pulih – Daim

Kerajaan Perikatan Nasional dilihat tidak berfungsi dengan cekap, “terumbang-ambing” mentadbir negara ketika menghadapi wabak Covid-19, kata bekas menteri kewangan.

“Masalah ini diburukkan lagi apabila setiap kementerian bergerak secara bersendirian.

“Rakyat masih belum nampak walau satu contoh pun usaha sama membabitkan pelbagai kementerian dalam memerangi wabak ini – selain kehadiran anggota tentera di sekatan jalanraya,” katanya, lapor FMT hari ini.

Daim menyoal ketiadaan penyelarasan gerak kerja pentadbiran PN dalam menangani Covid-19, memberi contoh isu sambungan internet dan pembelajaran murid dari rumah.

“Mengapa kementerian dan agensi komunikasi dan multimedia tidak duduk bersama Kementerian Pendidikan mencari jalan menyelesaikan masalah sambungan internet untuk pelajar yang dipaksa belajar dalam talian?

“Pelajar merasakan mereka diabaikan oleh kerajaaan, sesungguhnya mereka berhak berasa demikian,” katanya.

Ramai menteri PN belum tampil

Menurut Daim, pengumuman perdana menteri dan menteri tidak menimbulkan keyakinan rakyat yang merasa terabai.

“Orang ramai sudah tidak melekat di depan kaca TV untuk mengikuti sidang media setiap petang.

“Tidak siapa yang ambil tahu mengenai SOP yang kerap berubah, mahupun angka jangkitan atau nama kluster yang tidak membantu (keadaan mereka),” katanya.

Ramai anggota kabinet PN, kata Daim belum memberitahu usaha membantu rakyat yang dibuat kementerian masing-masing.

Katanya lagi, segelintir menteri yang tampil bersuara pula hanya menambahkan kekeliruan dan memburukkan lagi keadaan dengan pengumuman mereka.

“Rakyat berkata mereka keliru, tidak jelas sehingga SOP yang berubah-ubah membawa erti ‘Semua Orang Pening’,” katanya.

Daim yang juga bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan era pentadbiran PH berkata keputusan-keputusan kerajaan PN sehingga kini “tidak masuk akal kerana ia dibuat bukan berpandukan sains.”

Dia merujuk perintah pengecualian kuarantin tiga hari untuk menteri yang dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

“Di mana penjelasan atau sokongan saintifiknya untuk buat keputusan seperti itu?

“Apa yang rakyat nampak ialah penguatkuasaan undang udang dua darjat – lain untuk rakyat lain untuk orang berkedudukan tinggi,” katanya.

“…virus tidak kira itu semua – kerana ia tidak mendiskriminasi sama ada seseorang itu menteri atau bukan,” jelasnya lagi.

Daim mengingatkan perlu ada dasar yang betul untuk menangani wabak Covid-19 dan ekonomi yang bertambah baik akan menyusul.

“Kalau dasar wabak salah, ekonomi akan sengsara dan tidak akan pulih,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562974

COMMENTS

Wordpress (0)