Kaji kerjasama PKR : Hak ahli untuk bersuara, pemimpin tentukan keputusan terbaik

Kaji kerjasama PKR : Hak ahli untuk bersuara, pemimpin tentukan keputusan terbaik

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, mana-mana bahagian dalam parti itu berhak menyuarakan pandangan mereka, termasuk meminta mengkaji semula kerjasama dengan PKR.

Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun belum dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi Amanah dan akan diteliti terlebih dahulu.

“Itu hak mana-mana peringkat dalam parti untuk suarakan pandangan mereka.

“Kalau betul-betul sampai kepada meja sekretariat Amanah nasional kita bincang,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Amanah Bukit Bintang menggesa kepimpinan parti mengkaji semula kerjasama dengan PKR selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor menyertai parti itu.

Ia turut meminta kepimpinan parti mengkaji semula kedudukan dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan bersama itu melibatkan Ketua Amanah Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib; timbalannya Ahmad Thaari Abdul Rahim; Ketua Pemuda, Sheikh Khuzaifah; Ketua Wanita, Sharifah Juanie; Ketua Warda Fatihah Salahuddin dan Ketua Arif Bintang, Ismail Othman.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin membidas kenyataan Setiausaha Pemuda PKR, Syukri Razab yang memintanya bermuhasabah diri dan menjauhi sikap parti lama beliau (PAS) yang gemar bermain “politik bermuka-muka” atau “politik dua kolam”.

Beliau berkata, berdasarkan semangat PH, tidak sepatutnya Syukri berkata demikian.

“Atas semangat PH dia tak boleh kata begitu.

“Saya ibaratkan kita macam adik beradik dan harus hormat-menghormati,” katanya.

Sebelum itu, Syukri membidas Salahuddin yang kesal atas tindakan tiga ADUN tersebut meninggalkan Amanah untuk menyertai PKR.

Syukri memberi contoh sikap Salahuddin yang mahu bersama PKR, tetapi dalam masa yang sama masih tidak mahu keluar dari “kelambu” Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata Amanah juga wajar menghormati PKR untuk tidak menjalin hubungan dengan seteru politiknya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/28/hak-amanah-bukit-bintang-untuk-gesa-kaji-semula-kerjasama-dengan-pkr-kata-salahuddin/