Kaji balik langkah mengejut kerajaan tangguh umrah, gesa Khalid

PH

Kaji balik langkah mengejut kerajaan tangguh umrah.Ekoran pergantungan kebenaran perjalanan untuk menunaikan umrah oleh kerajaan Malaysia sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin baru-baru ini, saya telah didatangi oleh beberapa kumpulan pengusaha pakej umrah.

Saya diberitahu, mereka akan kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan ini kerana menguruskan pakej umrah bukannya dibuat dalam masa sehari dua tetapi semua telah siap ditempah berbulan sebelumnya. Hotel telah ditempah, sepertimana juga penerbangan dan segala perkhidmatan di Mekah dan Madinah bagi urusan ini. Sebelum ini, bila Covid mula-mula melanda di bawah Mahiaddin, mereka telahpun kerugian besar dan beberapa pengusaha telahpun gulung tikar.

Berdasarkan maklumat yang diberi, adalah jelas bahawa langkah kerajaan Malaysia kelihatan terburu-buru, lebih-lebih lagi apabila kerajaan Arab Saudi masih lagi membenarkan umrah dan, lebih dari itu, sudah mula membuka visa ziarah bagi pelancong dari beberapa negara.

Langkah kerajaan dibuat tanpa perbincangan yang menyeluruh dengan pengusaha pakej umrah. Ianya boleh disamakan dengan tindakan kerajaan mengimport ayam sejuk beku ketika mahu menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam baru-baru ini.

Yang lebih menghairankan, hampir kesemua pengusaha pakej umrah ini adalah pengusaha Melayu dan Islam, ia itu kumpulan yang kononnya menjadi teras perjuangan “kerajaan Melayu Isle” kerajaan yang berkuasa dewasa ini. Amat jelas slogan membantu Melayu Isle hanya untuk meraih sokongan politik semata-mata sedangkan apabila golongan perniaga Melayu Isle terjejas, kerajaan Ismail Sabri yang disokong Mahiaddin dan Haji Hadi langsung tidak ambil peduli.

 Kaji balik langkah mengejut kerajaan tangguh umrah, gesa Khalid

Ketika jamaah umrah dihalang kerajaan Malaysia, dikatakan kumpulan yang mahu membuat lawatan ke Arab Saudi melalui pakej ziarah dibenarkan pula! Dalam soal ini Kerajaan Saudi tidak menghalang lawatan samada melalui pakej ziarah atau pakej umrah.

Lebih mendukacitakan lagi adalah kenyataan acuh tak acuh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang berkata kerajaan tidak mampu menyediakan fasiliti untuk memuatkan seribu orang sehari yang perlu dikuarantin untuk mengawal jangkitan Covid-19 ini. Sikap lepas tangan sebegini amat tidak wajar oleh seorang Menteri sedangkan pengusaha umrah mengharapkan Menteri Agama membela kepentingan mereka dalam soal ini. Kalua Menteri Agama pun lepas tangan, siapa lagi yang boleh pengusaha Umrah mengharapkan untuk membela nasib mereka?

Saya setuju, kerajaan perlu berbuat sesuatu apabila kenaikan mendadak penyebaran virus Covid-19 khasnya Omicron berlaku. Namun menghentikan secara mengejut, dengan memberikan notis tempoh seminggu sahaja kebenaran menunaikan umrah ini adalah satu yang tidak kena. Sedangkan masih ada pilihan-pilihan lain yang boleh diusahakan.

Kerajaan boleh mengambil pendekatan mengetatkan SOP untuk perjalanan menunaikan umrah samada sebelum balik dari Saudi atau semasa sudah tiba di KLIA. Ujian Covid boleh dikenakan bagi setiap ahli Jemaah dan kawalan ketat dikenakan terhadap pergerakan mereka. Jemaah Umrah boleh diasingkan dari penumpang-penumpang lain sebaik sahaja mereka mendarat dan berbagai lagi SOP boleh dikenakan.

Kerajaan juga boleh menggunakan hotel-hotel yang kerugian besar akibat Covid-19 untuk menghidupkan kembali perniagaan mereka dengan dijadikan mereka sebagai pusat kurantin untuk Jemaah Umrah. Boleh juga diwujudkan pusat kuarantin besar khas untuk jamaah Umrah yang pulang dari sana seperti MAEPS di mana jua lokasi yang difikirkan munasabah.

Sehubungan dengan itu, saya memohon kerajaan menimbangkan semula tindakan menggantung perjalanan umrah sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini. Sila bertindak sebagai kerajaan yang berwibawa yang memikirkan kaedah dan pendekatan untuk menyelesaikan masalah dan bukan dengan mengambil jalan mudah tanpa mengambilkira kesannya terhadap yang terlibat.

BACA:

Penangguhan Umrah : Esok baru akan dibentang dalam kabinet – PM
Berlaku ‘ribut taufan’ dalam Umno gara-gara pengeluaran KWSP
Gempar !!! Hishamuddin bakal TPM? Ismail Sabri dijangka bertemu Muhyiddin hari ini

Artikel ini disiarkan pada 04/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)