Kadar kebolehjangkitan Covid-19 nasional mula turun kepada 0.99

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 nasional mula turun kepada 0.99

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 untuk seluruh negara menunjukkan trend penurunan sejak minggu lalu sehingga ia mencecah di bawah paras 1.0 buat kali pertama sejak dua bulan lalu.

Menurut data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya, kadar kebolehjangkitan semalam adalah 0.99 berbanding 1.00 sehari sebelumnya.

Nilai R-naught (R0) negara adalah 1.16 pada 29 Mei lalu, sebelum ia mula merosot kepada 1.12 keesokannya, 1.09 pada 31 Mei, 1.00 kelmarin dan 0.99 semalam.

Katanya, kali terakhir nilai itu di bawah 1.0 adalah 7 April, manakala kadar tertinggi 1.21 dicatatkan 23 Mei lalu, tetapi nilai itu mula menurun sejak 30 Mei lalu.

Bagaimanapun, 13 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan, dengan Labuan mendahului pada 1.36.

Ia diikuti Negeri Sembilan (1.18), Sabah (1.16), Melaka (1.10), Selangor (1.06), Kuala Lumpur (1.05) dan Johor (1.03), Putrajaya (1.03), Pulau Pinang (1.02), Pahang (1.02), Perak (1.02), Sarawak (1.02) dan Terengganu (1.00).

Tiga negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan di bawah 1.0 ialah Kelantan (0.97), Kedah (0.96) dan Perlis (0.95).

Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada 13 Jan lalu ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Nilai R0 merujuk tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti satu kes positif.

Walaupuan kes kadar kebolehjangkitan menurun, Noor Hisham dalam kenyataan berasingan semalam berkata, Malaysia kini berdepan trend peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dan kematian akibat pandemik itu, khasnya selepas 1 April lalu.

Beliau berkata, keadaan ini amat membimbangkan kerana majoriti kes baharu dan kematian Covid-19 membabitkan kes sporadik yang dikesan dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

“Kementerian Kesihatan ingin menyeru masyarakat mengambil serius situasi ini, yang mana penularan Covid-19 adalah di dalam komuniti, termasuklah tempat beli-belah, tempat kerja dan sebagainya.

“Masyarakat perlu faham sesiapa sahaja boleh dijangkiti Covid-19, tidak kira di mana mereka berada. Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes sporadik dan kematian akibat kes sporadik ini di dalam komuniti,” katanya sambil merayu orang ramai terus mematuhi SOP secara konsisten, berada di rumah dan hanya keluar apabila perlu.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/07/kadar-kebolehjangkitan-covid-19-turun-kepada-0-99/