Kabinet baharu : Siapa untung, siapa rugi?

Selepas penantian selama seminggu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akhirnya mendedahkan barisan Jemaah kabinet Menteri baharu yang memaparkan wajah sama seperti kerajaan sebelumnya.

Kabinet baharu : Siapa untung, siapa rugi?

Khairy Jamaluddin bertukar kementerian dengan Adham Baba, manakala Noraini Ahmad mendapat semula portfolio pengajian tinggi selepas meletak jawatan sebelum ini. Bagaimanapun, Shamsul Anuar Nasarah tidak lagi dalam Jemaah Menteri baharu.

Berikut senarai mereka yang “menang” dan “kalah” susulan pengumuman hari ini.

Yang menang

Khairy Jamaluddin

Ketika menjadi menteri sains, teknologi dan inovasi (MOSTI), beliau yang bertanggungjawab terhdaap imunisasi negara, seterusnya portfolio kesihatannya kali ini mungkin dilihat sebagai satu kenaikan pangkat. Memandangkan peranan Kementerian Kesihatan dalam memerangi wabak Covid-19, tanggungjawab itu mungkin membayangkan keyakinan Ismail dengan kebolehannya.

Beliau dilihat berjaya memacu kadar imunisasi negara setaraf peringkat dunia. Memandangkan kejayaan itu, tidak mungkin orang lain memegang jawatan berkenaan.

Annuar Musa

Selepas menjadi menteri Wilayah Persekutuan, Annuar kini memegang jawatan lebih besar sebagai menteri komunikasi dan multimedia. Kementerian ini dilihat penting untuk membolehkan kerajaan mengetengahkan pencapaiannya selain dalam pemantauan media sosial.

Saifuddin Abdullah yang memegang jawatan berkenaan sebelum ini kini dilantik sebagai menteri luar negara menggantikan Hishammuddin Hussein.

Ahmad Faizal Azumu

Mungkin beliau yang paling “menang”. Selepas disingkirkan daripada jawatan menteri besar Perak pada Disember dan menjadi penasihat Muhyiddin Yassin selama hanya 11 hari, pelantikannya sebagai menteri belia dan sukan jelas perkembangan positif untuk timbalan presiden Bersatu itu.

Noraini Ahmad

Beliau meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi selepas Umno menarik sokongan untuk kerajaan Muhyiddin Yassin awal bulan lalu, dengan tindakannya dipuji ramai pihak dalam parti serta akar umbi.

Walaupun Ismail antara pemimpin kanan Umno yang tetap menyokong Muhyiddin, ini tidak menghalang beliau membawa semula Noraini dalam Jemaah Menteri.

PAS

PAS kini menerajui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan menguasai jawatan menteri dan timbalan menteri.

Ahmad Marzuk Shaary kekal sebagai timbalan menteri manakala Idris Ahmad menggantikan Zulkifli Mohamad sebagai menterinya.

Yang kalah

Dr Adham Baba

Adham bertukar kedudukan dengan Khairy dan kini menerajui MOSTI, yang mungkin dilihat ramai pihak sebagai satu penurunan pangkat.

Menteri Umno itu berulang kali dikritik ketika menerajui Kementerian Kesihatan, termasuk dakwaannya bahawa meminum air suam dapat menghalang Covid-19, selain tersilap menyebut “Spanish fly” (sejenis afrodisiak) ketika mahu mengatakan “Spanish flu” (wabak yang bermula pada 1918 dan membunuh hampir 50 juta orang).

Shamsul Anuar Nasarah

Beliau menteri Umno pertama yang meletak jawatan selepas Majlis Kerja Tertinggi memutuskan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, namun tidak seperti Noraini. beliau malangnya tidak mendapat semula jawatan menteri tenaga dan sumber asli. Malah, kali ini beliau langsung tidak dipilih menganggotai Jemaah Menteri.

Zuraida Kamaruddin

Bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan kini mengetuai Kementerian Perusahaan Ladang dan Komoditi, manakala jawatannya yang terdahulu diisi Reezal Merican Naina Merican.

Seperti Adham, jawatan baharu ahli Bersatu itu mungkin dilihat sebagai penurunan pangkat kepada kementerian yang kurang penting.

Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

Ketua Pemuda Bersatu ini bukan lagi timbalan menteri belia dan sukan, sebaliknya dilantik sebagai timbalan menteri perpaduan yang dianggap portfolio lebih kecil.

Khairuddin Aman Razali

Ahli PAS yang kontroversi ini hilang kedudukan dalam Jemaah Menteri selepas jawatan terdahulunya diberikan kepada Zuraida.

Khairuddin terpalit dengan beberapa kontroversi termasuk didenda RM1,000 kerana melanggar SOP kuarantin yang dilihat terlalu ringan, selain dikaitkan mempunyai hubungan dengan seorang pelakon wanita.

Bersatu

Walaupun parti itu mempunyai beberapa menteri dan timbalan menteri dalam Jemaah Menteri baharu, keputusan Ismail untuk mencontohi tindakan awal Muhyiddin dengan tidak melantik timbalan perdana menteri pasti mengecewakan, memandangkan desas-desus sebelum ini kononnya seorang dalam kalangan mereka akan dipilih untuk jawatan itu.

Ini juga memandangkan blok Perikatan Nasional diterajui Bersatu membawa paling ramai Ahli Parlimen ke dalam kerajaan Ismail, malah yang paling memberinya sokongan diperlukan untuk menjadi perdana menteri kesembilan.

Pembayar cukai

Mereka yang mengharapkan Jemaah Menteri lebih kecil bawah pimpinan Ismail pasti kecewa memandangkan 69 pelantikan diumumkan hari ini sama saja dengan bilangan dinamakan Muhyiddin ketika pelantikannya pada Mac tahun lalu.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/27/jemaah-menteri-baharu-untung-sabut-timbul-untung-batu-tenggelam/

BACA JUGA : Terkini !!! Selepas pengumuman kabinet, MKT Umno bermesyuarat malam ini