Jual minyak ganja untuk ubati kanser, lelaki terlepas hukuman mati

Jual minyak ganja untuk ubati kanser, lelaki terlepas hukuman mati

Seorang jurutera yang menjual minyak kanabis untuk merawat pesakit kanser terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuannya terhadap dua tuduhan mengedar dadah.

Bagaimanapun, barisan tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengekalkan kesalahan Muhammad Lukman Mohamad mengikut Seksyen 9 Akta Dadah Berbahaya (ADB).

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan berat dadah maka pensabitan tidak dapat dikekalkan,” kata Tengku Maimun dalam sidang mahkamah terbuka. Beliau disertai Hakim Mohamad Zawawi Salleh dan Harmindar Singh Dhaliwat.

Lukman, 31, dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi tuduhan memiliki dadah, yang akan berjalan serentak. Ini bermakna beliau hanya perlu menjalani pemenjaraan selama lima tahun.

Seksyen 9 ADB memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun dan atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2018 mendapati Lukman bersalah atas tiga tuduhan mengedar 3,010mm delta 9 Tetrahydrocannabinol, iaitu ekstrak kanabis, 1,422g esktrak sama, dan 279.81g kanabis.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Mahkota, Banting pada 7 Dis 2015.

Kesnya menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berpandangan tuduhan terhadap Lukman wajar disemak semula.

Suatu petisyen turut dilancarkan menyeru beliau dibebaskan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati bagi dua kesalahan pertama tetapi mengurangkan tuduhan ketiga kepada pemilikan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Zabariah Mohd Yusof, dalam keputusannya berkata tiada keterangan daripada pihak berkuasa yang membuktikan marijuana memiliki sifat mengubat bagi merawat pesakit yang menghidap kanser.

Bagi tuduhan ketiga, mahkamah mengenakan hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan rotan.

Rayuan Lukman kepada Mahkamah Persekutuan hanya terhadap pensabitan bagi tuduhan mengedar dadah.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata, anak guamnya akan dibebaskan daripada penjara di Maran selepas pegawai penjara selesai merotan.

“Jika bukan kerana itu, dia patut dibebaskan segera kerana tempoh penjara tujuh tahun sudah selesai, dengan peringanan hukuman selama 1/3,” katanya kepada FMT selepas perbicaraan.

Terdahulu, Hisyam, yang dibantu Kee Wei Lon, berhujah pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan berat dan jumlah dadah seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

“Barang pameran tidak ditenderkan di Mahkamah Tinggi dengan betul kerana ia dilakukan tanpa kehadiran hakim perbicaraan,” kata Hisyam.

Peguam juga berkata, Lukman tidak patut dituduh mengikut ADB kerana beliau hanya menjual bahan berkenaan bagi tujuan perubatan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/17/penjual-minyak-kanabis-sebagai-ubat-terlepas-hukuman-mati/