Jual ikan selayang dan kembung 20 sen seekor….

Jualan amal ikan Selayang dan ikan Kembung segar di sekitar Kuantan pada harga 20 sen seekor laris bagaikan goreng pisang panas.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati orang ramai mula beratur seawal jam 9.30 pagi mengambil kesempatan itu.

Setiausaha Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid berkata, jualan ikan tersebut adalah bagi meringankan beban masyarakat sambil beramal dengan menawarkan harga yang rendah daripada harga pasaran.

Jual ikan selayang dan kembung 20 sen seekor....

“Kami dapatkankan ikan segar dengan harga yang tinggi sedikit daripada pembekal, namun menjual dengan harga yang murah sebagai usaha kerja amal bagi meringan beban masyarakat.

“Ikan Selayang dan Kembung seberat 150 kilogram dapat dijual kepada 100 orang, habis dijual pada pukul 11 pagi,” katanya.

Pemantauan juga dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Kuantan, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi memastikan aktiviti jualan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Terdahulu, program jualan amal menjual 150 ekor ayam segar pada harga serendah RM5 seekor dijalankan sebelum sambutan Raya Haji Aidiladha lalu bagi meringan beban masyarakat juga mendapat sambutan.

Bagi M. Noridah Mohd Nor, 41, beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli ikan pada harga yang murah yang dapat menjimatkan perbelajaan dapur keluarganya.

Tambahnya, dengan jualan amal seumpama itu bertepatan ketika ramai ketiadaan pekerjaan serta membantu ekonomi mereka yang terkesan.

“Tahu jualan ikan segar bila tengok siaran langsung MalaysiaGazette, dan terus datang ke sini, nasib baik sempat.

“Saya beli tiga bungkus ikan boleh jadi bekalan dapur dan berkongsi bersama keluarga, jualan seperti ini sangat membantu semua golongan terkesan.

Manakala bagi Muhammad Habeeb Syafuan Rasely, 26, mengharapkan agar jualan amal kerap diadakan semasa pandemik ini.

“Harapnya ada lagi jualan seperti ini selalu dilakukan dapat membantu semua masyarakat yang terkesan.

“Paling bersyukur bila dapat ikan segar dengan harga yang murah”.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/22/jual-ikan-20-sen-seekor-sambil-beramal/

BACA JUGA : Bersatu wajar pertimbang tidak sertai kabinet Ismail Sabri