Jual aset TH : Mujahid teruskan saman fitnah terhadap Asyraf Wajdi

Jual aset TH : Mujahid teruskan saman fitnah terhadap Asyraf Wajdi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa untuk meminda pernyataan tuntutannya berhubung saman fitnah yang difailkan terhadap Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada November tahun lalu, Mujahid memfailkan tindakan undang-undang terhadap Asyraf ekoran dakwaan bahawa Ahli Parlimen Parit Buntar itu menjual aset-aset strategik Lembaga Tabung Haji (TH) serta beberapa tuduhan lain.

Menurut peguamnya, Noorazmir Zakaria, Asyraf telah mengeluarkan kenyataan fitnah pada 30 September 2019, dengan tajuk “Tabung Haji Jual RM2.6b Ekuiti: YB Mujahid Harus Segera Beli Penjelasan”.

Noorazmir berkata, tuntutan pindaan yang dibuat kali ini menjelaskan lebih teliti beberapa fakta berkaitan tuduhan Asyraf terhadap Naib Presiden AMANAH itu berhubung status aset strategik TH.

“Mahkamah Tinggi hari ini (semalam) selanjutnya menetapkan tarikh 4 September depan sebagai tarikh pengurusan kes untuk pihak defendan memfailkan pembelaan terpinda.

“Mujahid diwakili oleh Noorazmir Zakaria dari Tetuan Akram Hizri Azad & Azmir. Kes didengar di hadapan Yang Arif Datuk Sri Latifah Mohd Tahar,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Terdahulu pada Februari lalu, kes saman fitnah tersebut ditangguhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan kedua-dua pihak melengkapkan dan mengemaskini dokumen.

Untuk rekod, pada 30 September 2019, Asyraf menuduh Mujahid menjual aset-aset strategik TH termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion.

Mujahid kemudiannya menyangkal tuduhan itu dan menegaskan tidak pernah menjual ekuiti berjumlah RM2.6 bilion termasuk keseluruhan pegangan saham TH dalam TNB bernilai RM1.8 bilion.

Tindakan perundangan terhadap Asyraf dibuat selepas tiada permohonan maaf dibuat dalam tempoh seminggu bermula 1 Oktober 2019.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/fitnah-jual-aset-tabung-haji-mujahid-mohon-pindaan-saman-asyraf-wajdi/