Jho Low penasihat khas tidak rasmi Najib – bekas pegawai khas Najib

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low adalah penasihat khas tidak rasmi kepada bekas perdana menteri itu dalam menjalankan tugas khas belakang tabir termasuk menguruskan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib membabitkan 1MDB berkata selain menguruskan syarikat itu, Jho Low turut menjalankan tugas-tugas khas belakang tabir yang tidak diketahui oleh pihak luar membabitkan banyak perkara termasuk program antarabangsa, lawatan kerja, cadangan perniagaan dan dasar serta kerja-kerja kebajikan.

Amhari Efendi, yang ketika itu bertugas di Bahagian Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Jho Low juga merupakan pencatur dalam urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan atau G to G serta pencatur politik Najib termasuk dana-dana yang diperoleh oleh bekas perdana menteri berkenaan.

“Setiap arahan yang diberikan oleh Jho Low perlu dilaksanakan kerana saya percaya beliau telah mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Najib. Saya tidak pernah mempersoalkan setiap arahan itu, namun ada kalanya dan bila perlu, Datuk Azlin Alias, yang ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib atau saya sendiri pernah bertanya semula kepadanya (Najib) tentang arahan tersebut untuk mendapatkan kepastian.

“Pada kebanyakan masa, saya dimaklumkan oleh Najib bahawa arahan yang diberikan oleh Jho Low dipersetujui olehnya dan Datuk Azlin juga pernah memaklumkan kepada saya bahawa setelah diperiksa arahan yang Jho Low berikan sentiasa dipersetujui oleh Najib dan kami diminta membuat tindakan susulan,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi, yang kini tidak bekerja memaklumkan bahawa Jho Low akan mengarahkan beliau dan Datuk Azlin dalam melaksanakan arahan-arahan Najib.

“Selain itu, ada juga individu-individu lain yang turut dikenali oleh Jho Low di PMO yang akan mengambil tindakan terhadap arahannya dan kebanyakan arahan ini akan dilaksanakan,” katanya yang turut memaklumkan walaupun Jho Low seorang yang masih muda, tetapi beliau mempunyai karisma dan kuasa yang luar biasa.

Saksi pendakwaan kelapan itu turut menjelaskan bahawa sepanjang beliau berkhidmat dengan Najib, beliau selalu berjumpa dengan Jho Low bagi membincangkan beberapa perkara termasuk perkara sulit.

“Ada masa, arahan-arahan khas membabitkan perkara-perkara sulit kepada Datuk Azlin atau saya turut datang daripada Jho Low dan saya pasti arahan-arahan itu kebanyakannya telah disampaikan atau diketahui dan dipersetujui oleh Najib sendiri.

“Saya katakan begitu kerana pada kebanyakan masa, Datuk Azlin atau saya akan semak semula arahan yang kami terima daripada Jho Low dengan Najib, kami dapati beliau (Najib) sedia maklum dan mengetahui tentang arahan itu dan ada masanya beliau bersetuju dengan arahan itu dan mengarahkan kami untuk melaksanakannya,” katanya.

Amhari Efendi, yang merupakan seorang daripada saksi penting berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

BERNAMA