Jho Low arah Najib jangan cakap banyak

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) pernah mengarahkan Datuk Seri Najib Tun Razak agar tidak bercakap banyak kepada wakil sebuah firma audit ketika memberi penjelasan berhubung pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, 48, berkata, wakil KPMG itu mengunjungi bekas Perdana Menteri di kediamannya pada 15 Disember 2013 khususnya bagi mendapat penjelasan beliau sendiri berhubung pelaburan oleh Brazen Sky Limited di luar negara.

Saksi pendakwaan ke-12 tersebut berkata, arahan agar Najib tidak bercakap banyak itu dinyatakan dalam e-mel yang diterima (saksi) daripada Jho Low yang bertindak mengatur strategi menjawab soalan-soalan KPMG ketika pertemuan itu berlangsung.

Jho Low arah Najib jangan cakap banyak

JHO LOW

Menurut Azmi, Jho Low malah mahukan Najib sendiri mengungkapkan beliau telah diberi penerangan dan mengetahui segala pelaburan dan transaksi dalam 1MDB serta dokumen yang disediakan.

Jelasnya, Jho Low juga mengarahkan bekas Perdana Menteri menyatakan keyakinan beliau terhadap Bank BSI berdasarkan fakta yang diberi.

Azmi turut berkata, Najib diarah memberikan pandangan 1MDB bahawa pelaburan Brazen Sky Limited telah diurus oleh ‘pengurus dana’ yang dilesenkan oleh Cayman Islands Monetary Authority dan juga Hong Kong Securities Futures Commission.

Katanya, pelaburan itu turut disahkan oleh pelbagai pihak dan agensi bebas terkemuka seperti Vistra Fund Services dan Citco Global Custody.

Menurut saksi, walaupun beliau berjawatan CFO di 1MDB manakala urusan audit di bawah bidang kuasanya, Jho Low yang mengatur segala dokumentasi dan butiran penerangan kepada Najib untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh KPMG.

Menurut saksi, dalam pertemuan tersebut, Najib turut memperoleh emel yang sama daripada Jho Low manakala perkara-perkara yang digariskan dalam emel itu telah dibincangkan dengan wakil KPMG, Datuk Johan Idris.

Jelasnya, Najib ketika ditanya oleh Johan berhubung pelaburan Segregated Portfolio Company (SPC) di Cayman Islands mengaku beliau mengetahui pelaburan oleh Brazen Sky Limited di SPC.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Azmi turut menyatakan, Najib meminta kepastian mengapa KPMG syak wasangka berkenaan aset asas pelaburan tersebut walhal Bank BSI sendiri telah menunjukkan penyata pelaburan.

Katanya, pada pertemuan tersebut, Najib kemudian memaklumkan kepada KPMG agar menutup akaun 1MDB sebelum 31 Disember 2013.

Kata Azmi, selepas mesyuarat itu, KPMG masih tidak menutup laporan kewangan tahun 2013 kerana tidak berpuas hati dengan dokumen dan jawapan yang diberikan. KPMG kemudian ditukar kepada Delloite, tidak lama kemudian.

Saksi selanjutnya berkata, sebelum pertemuan di kediaman Najib, satu mesyuarat diadakan pada 29 November 2013 di antara 1MDB dan KPMG di Royal Bintang, Damansara bagi membincangkan persoalan yang ditimbulkan berhubung pelaburan 1MDB dalam Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

Menurutnya, KPMG mula bertanyakan berkenaan pelaburan Brazen Sky Limited dalam SPC kerana tidak berpuas hati apabila hanya diserahkan dengan penyata kewangan BSI Bank sahaja bagi pelaburan itu.

Menurut saksi, KPMG mahukan dokumen yang lebih terperinci untuk menutup penyata akaun bagi tahun 2013 dan perkara itu kemudian dibawa dalam mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB.

Mahkamah sedang mendengar perbicaran kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi oleh bekas Perdana Menteri.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

BACA JUGA : Ahli Parlimen enggan divaksin tidak akan terima gaji
Khidmat polis pengiring Najib kekal hingga rayuan mahkamah selesai

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar

    […] Jho Low arah Najib jangan cakap banyak […]

  • comment-avatar

    […] BACA JUGA : Jho Low arah Najib jangan cakap banyak […]