Jenazah Covid-19 lebih mencabar untuk diurus berbanding pesakit HIV

Jenazah Covid-19 lebih mencabar untuk diurus berbanding pesakit HIV

Jenazah Covid-19 lebih mencabar untuk diurus berbanding pesakit HIV. Meskipun pernah menguruskan hingga 18 jenazah pesakit Covid-19 dalam sehari, Faizah Hamezah tidak pernah berasa sukar dengan tugasnya sebagai pengendali jenazah demi menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Biarpun terdapat gesaan daripada ahli keluarga untuk berhenti, namun wanita berusia 40 tahun itu terus cekal melaksanakan tugas murni berkenaan walaupun menyedari hakikat dan risiko besar yang dihadapinya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, lama-kelamaan ahli keluarganya makin memahami dan memberi sokongan kepadanya untuk melunaskan peranan dan tanggungjawab dalam mengendalikan jenazah Covid-19 dengan sebaik mungkin sebagai saudara seagama.

Jenazah

“(Dalam sehari), adakalanya antara lima hingga enam jenazah perlu diuruskan dan paling banyak ialah saya perlu menguruskan 18 jenazah sehari. Sebelum ini, saya ada menguruskan jenazah pesakit HIV, namun saya berasa jenazah Covid-19 paling mencabar, apatah lagi kebanyakannya pesakit positif pada tahap lima.

“Pada mulanya ahli keluarga (saya sendiri) tidak bagi meneruskan (hasrat ini). Tetapi, saya maklumkan (kepada mereka) kalau saya tidak ke depan untuk membantu jenazah perempuan (Covid-19), siapa lagi yang akan melakukannya?,” katanya ketika ditemui Bernama di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai tugasannya, Faizah berkata, beliau perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk dipanggil menjalankan tugas yang diamanahkan itu memandangkan setiap hari pasti ada kematian disebabkan virus Covid-19.

“Untuk jenazah Covid-19, saya perlu memakai pakaian pelindung diri (PPE), setiap sudut pihak hospital akan tengok (dengan teliti) bagi mengesan sama ada berlaku kebocoran atau tidak dan saya perlu sentiasa sihat untuk menguruskan jenazah tersebut,” katanya.

Faizah adalah antara yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan mendapat latihan terus daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (Jabatan Perubatan Forensik HSAJB) sebagai petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 (perempuan) untuk melaksanakan proses mentajhiz iaitu memandikan, mengkafankan, solat dan pengebumian jenazah.

Selain di HSA, beliau turut melaksanakan proses mentajhiz jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Sultan Ismail di sini, sejak Mac tahun lalu.

Berpengalaman menguruskan jenazah muslimat sejak 16 tahun, Faizah berkata, antara pengalaman dan situasi meruntun jiwa ketika melaksanakan tugas adalah menyaksikan ahli keluarga mangsa Covid-19 tidak dapat bersama menguruskan jenazah.

Beliau berkata, bukan sahaja mereka tidak dapat melihat wajah jenazah buat kali terakhir, malah perlu menaruh sepenuh kepercayaan kepada petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 untuk menyempurnakan pengebumian insan tersayang.

“Apa yang menyedihkan apabila waris dalam keadaan tidak tentu arah merayu-rayu supaya kami membenarkan mereka melihat jenazah (ketika pengecaman) lebih dari dua orang, tapi demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kita memang tidak membenarkannya,” katanya yang pernah bertugas sebagai guru pada 1999 hingga 2004.

Beliau berkata, jenazah muslim dan muslimat Covid-19 di sekitar daerah Johor Bahru dikebumikan di tiga lokasi tanah perkuburan Islam iaitu Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah di Taman Mount Austin, Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas di Skudai dan Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai di Pasir Gudang.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/728887/urus-jenazah-pesakit-covid-19-lagi-mencabar-berbanding-jenazah-hiv

jika Terlepas: Ziarah Tun Abdullah, netizen persoal tindakan Annuar Musa