Jazlan tak tahu ada pertemuan MP Umno, serah kepada Agong buat keputusan

Jazlan

Jazlan tak tahu ada pertemuan MP Umno, serah kepada Agong buat keputusan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menegaskan beliau tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai kemungkinan terdapat sebarang pertemuan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen parti itu pada Ahad.

Jazlan

Jelas Ahli Parlimen Machang itu, beliau ketika ini masih berada di Kelantan dan sudah meminta tidak ‘diganggu’ oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, semua pihak perlu menghentikan segala usaha meraih sokongan politik dan kembali menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan bentuk kerajaan baharu sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

“Saya tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai sebarang pertemuan melibatkan ahli-ahli Parlimen UMNO hari ini (Ahad).

“Bagi saya, benda sebegini (agenda pertemuan pemimpin politik) sudah banyak kali berjalan. Saya rasa sudah cukuplah, tidak perlu kelam-kabut sebaliknya serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan masa hadapan negara,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka meletak jawatan pada Isnin setelah mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet pada jam 9 pagi.

Perkara itu disahkan oleh seorang menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada Sinar Premium dengan satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diadakan di bangunan Publika, Kuala Lumpur pada pagi Ahad.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas pada Jumaat menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.

Sehingga kini, jumlah ahli Parlimen UMNO yang difahamkan sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah seramai 15 orang diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Sinar Premium difahamkan terdapat satu pertemuan di antara kumpulan ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Menurut sumber UMNO, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan hala tuju kumpulan ahli Parlimen UMNO dan BN berkenaan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang pada Isnin.

Bahkan, terdapat desas-desus bertiup kencang ketika ini yang mengatakan UMNO mungkin akan bersatu semula sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Spekulasi itu timbul setelah anak kepada Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Nedim memuat naik status ciapan di Twitter memaklumkan pasukan A dan B telah bersetuju untuk bersama kerana seseorang telah membuat keputusan.

“Okay, Alhamdulillah, pasukan A dan Pasukan B telah bersetuju untuk bersama kerana seseorang telah memutuskan untuk pergi…kembali bekerja dengan pasukan yang betul,” ciapnya pada awal pagi Ahad.

Berdasarkan spekulasi yang timbul, terdapat dakwaan yang mengatakan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkemungkinan besar diangkat sebagai Perdana Menteri baharu.

UMNO sebelum ini terbahagi kepada dua kumpulan apabila satu kumpulan diketuai oleh Ahmad Zahid yang menolak kerajaan PN.

Satu lagi kumpulan terdiri ahli Parlimen UMNO dan BN yang diketuai Ismail Sabri melibatkan 23 ahli Parlimen UMNO, dua ahli Parlimen MCA dan masing-masing satu ahli Parlimen MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Berita penuh : https://premium.sinarharian.com.my/article/152976/fokus/semasa/tidak-tahu-pertemuan-mp-umno-serah-kepada-agong-jazlan

Baca Juga : CEO MBSB dilapor meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19