Jawatankuasa dibentuk dari kalangan ahli politik dan NGO minta tamatkan darurat

Jawatankuasa dibentuk dari kalangan ahli politik dan NGO minta tamatkan darurat

Demi mendesak kerajaan agar darurat ditamatkan, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengumpul tandatangan orang ramai mulai hari ini.

Menurut badan dikenali sebagai Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Daraurat itu pengumpulan tandatangan tersebut dibuat melalui sebuah laman sesawang.

Pengerusi jawatankuasa itu Khalid Samad berkata mereka menyasarkan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong menjelang Ramadan ini.

“Jawatankuasa ini ditubuh dengan tujuan untuk merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menamatkan pengisytiharaan darurat.

“Satu petisyen telah dihasilkan dan berusaha mengumpul tandatangan (sokongan).

“Setakat ini kami sudah memperolehi beberapa ratus tandatangan daripada individu dan 100 lebih pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran laman web Tamat Darurat di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 12 Jan lalu Yang di-Pertuan Agong – setelah menerima nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin – memberi perkenan kepada pelaksanaan daurat di seluruh negara sehingga 1 Ogos sebagai langkah menangani Covid-19.

Pada masa sama kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menasihatkan Agong mengenai darurat tersebut dan mencadangkan jika ia boleh ditamatkan lebih awal.

Kalau rasa sayangkan negara

Ia berlaku ketika keabsahan kerajaan PN kini dipertikaikan ekoran tindakan beberapa ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin.

Ia disusuli dengan pengumuman dua ahli parlimen PKR yang mengalih sokongan mereka kepada presiden Bersatu itu baru-baru ini.

Selain pembangkang, Umno sendiri mendesak agar darurat menyeluruh itu ditamatkan atau sekurang-kurangnya kerajaan membenarkan sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Setakat ini belum ada tanda-tanda menunjukkan Muhyiddin akan menasihatkan Agong berkenaan sidang parlimen di sebalik kenyataan Istana Negara yang berpendapat ia wajar diadakan walaupun dalam darurat.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan proklamasi serta ordinan yang digubal di bawah undang-undang darurat tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Menurut Khalid menjadi hasrat Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Daraurat itu untuk mengumpul sebanyak mungkin tandatangan sebelum diserahkan ke Istana Negara.

Baca Agong: Parlimen boleh bersidang ketika darurat

“Sebagai payung negara, Yang di-Pertuan Agong perlu dimaklumkan akan bantahan rakyat jelata terhadap tindakan perdana menteri dalam soal ini,” katanya yang juga merupakan pengarah komunikasi Amanah.

Untuk rekod jawatankuasa itu dianggotai beberapa ahli politik, NGO, aktivis, peguam dan lain-lain.

Selain Khalid, turut menganggotai badan itu antaranya ialah Setiausaha Agung Penaja Parti Pejuang Tanah Air, Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin, Aiman Athirah Sabu (senator), Mohd Azis Jamman (Ahli Parlimen Sepanggar), Teo Nie Ching (Kulai), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai) Teresa Kok (Seputeh), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) dan bekas ahli parlimen Batu, Tian Chua; Mutalib Uthman dan Thanussha Francis Xavier (kedua-duanya dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia – Muda).

Kata Khalid jawatankuasa terbabit juga terbuka untuk menerima mana-mana ahli-ahli politik dari blok kerajaan yang berasakan darurat sekarang wajar ditamatkan.

“Setakat ini tiada (ahli politik kerajaan terlibat) tetapi kita terbuka untuk bersama.

“Warisan pun ada dan kita di Sabah juga. Jadi kami terbuka (untuk) BN, GPS, Umno dan PAS.

“Kalau mereka sayangkan negara dan rasa darurat tidak wajar diteruskan dan perlu ditamatkan, dengan senang hati kita alu-alukan,” katanya lagi.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/566291