Jawapan balas terhadap MAZA berhubung sokongan terhadap pengkhianatan

Jawapan balas terhadap MAZA berhubung sokongan terhadap pengkhianatan

Berikut adalah jawapan balas saya terhadap jawapan Dr. Maza kepada persoalan pendiriannya yang dikatakan menyokong al-ghadr atau pengkhianatan perjanjian. Para yang bernombor adalah salinan tulisan Dr. Maza dan di bawahnya adalah jawapan balas saya.

Jawapan MAZA :  Saya bersetuju bahawa manusia berpegang kepada ikrar dan janji. Itu pun hendaklah dilihat, sejauh mana ikrar dan janji bercanggah atau tidak dengan syarak. Adapun saya dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian atau ikrar antara orang-orang politik tersebut. Itu urusan mereka. Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan.

Jawapan saya:

Dr. Maza bersetuju manusia wajib berpegang dengan ikrar dan janji yang tidak bercanggah dengan syarak. Baik, jika hari ini Dr. Maza kata harus melanggar perjanjian 4 parti PH itu, sila buktikan di mana perjanjian itu bercanggah dengan syarak. Daripada dokumen perjanjian bertarikh 6 Januari 2018 yang ditandatangani oleh Tun Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Tan Kok Wai dan Tuan Haji Mohamad Sabu selepas ayat “Maka dengan ini kami bersepakat dan bersetuju dengan muafakat bersama ini sebagai perjanjian yang mengikat parti-parti kami” itu, perkara yang mana bercanggah dengan hukum syarak wahai mufti? Jika anda tidak tahu akan isi perjanjian itu, atau anda tidak membaca pun perjanjian itu, bagaimana anda memberi fatwa dalam kegelapan? Adakah anda sudah lupa bahawa anda sendiri telah menulis sebuah buku kecil terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis bertajuk “Kewajipan Memahami Realiti Sebelum Berfatwa” pada 2019?

Dr. Maza kata beliau dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian itu? Ya, anda dan minoriti rakyat (bukan majoriti) yang mengundi BN atau Pas dalam PRU14 tidak terlibat dengan perjanjian itu, tetapi Dr. Maza dan semua rakyat Malaysia telah terikat dengan perjanjian atau ikrar mematuhi Perlembagaan Persekutuan di mana Suruhanjaya Pilihanraya diberi mandat untuk menentukan kerajaan selepas mana-mana gabungan parti politik memenangi PRU secara majoriti. Bagaimana Dr. Maza mendakwa dirinya dan majoriti rakyat tak terlibat dengan perjanjian? Adakah Dr. Maza berani mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan atas kuasa yang diperuntukkan kepada SPR?

Satu aspek lagi, adakah Dr. Maza ingin memberitahu bahawa para Sahabah r.a. tidak terikat dengan perjanjian al-Hudaybiyyah yang ditandatangani Rasulullah s.a.w.? Ya, itu perbuatan nabi yang menerima wahyu dan perjanjian PH bukan ditandatangani nabi atau nabi-nabi, tetapi bukankah di sana ada nas yang jelas:
المسلمون على شروطهم
“Umat Islam itu wajib berpegang dengan syarat-syarat yang dipersetujui bersama di antara mereka”? (Hadis sanadnya Hasan atau Sahih menurut al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 9/376). Pernahkah ada rakyat Madinah berkata kami tak terikat dengan perjanjian yang ditandatangani Muhammad ketika itu? Kalau ada, sudah tentu itu orang munafik atau Yahudi!
Wahai mufti, orang Arab ada berkata: “Jangan kamu teraba-raba seperti unta yang teraba-raba di waktu malam”!  Kata-kata anda “Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan” adalah kata-kata orang yang teraba-raba dalam kegelapan tanpa cahaya semata-mata untuk melepaskan diri daripada keputusan syarak (hukum haram al-ghadr) dan undang-undang (Perlembagaan Persekutuan).

Jawapan MAZA : Perdana Menteri yang ada sekarang dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong iaitu kuasa tertinggi yang diiktiraf oleh Perlembagaan Negara. Di sisi Perlembagaan, dia merupakan Perdana Menteri yang sah. Apabila ia sah, di sisi syarak ia wajib ditaati selagi dia tidak menyuruh kepada dosa dan maksiat.

Jawapan saya:

Kita bersetuju dengan kewajipan mentaati YDP Agong sebagai kuasa tertinggi dalam Perlembagaan Persekutuan dalam melantik Perdana Menteri. Namun kenyataan Dr. Maza ini agak pelik kerana ia baru muncul setelah terbentuk kerajaan baru rentetan trajedi al-ghadr yang tercela dalam agama dan budaya manusia bertamadun.

Kenapa Dr. Maza sebelum ini sangat lancang mempertikaikan dasar yang telah dititahperkenankan oleh YDP Agong pada 11 Mac 2019 di Dewan Rakyat terhadap usaha Kerajaan mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah? Kertas konsep dasar itu telah dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali ke-65 pada 14 Mac 2019, berikutnya tindakan sembah maklum keputusan mesyuarat MKI mengenai Pelaksanaan Gagasan Negara Rahmah kepada Mesyuarat Pre-Council Majlis Raja-Raja Kali ke-254 pada 2 Julai 2019 dan akhirnya Mesyuarat Jemaah Menteri menyokong dan meluluskan permohonan bajet untuk promosi RLA bagi tahun 2020. Kenapa ketika itu Dr. Maza lupa kepada Rukun Negara “Kesetiaan kepada Raja dan negara”?

Saya kira sangat janggal bila Dr. MAZA sebagai seorang mufti kerajaan sebuah negeri, ketika menjawab soalan salah seorang pelajar dalam sesi ceramahnya di masjid UiTM Perlis dalam bulan November 2019, cuba menyifatkan gagasan RLA sebagai cara atau versi sendiri ikut cara menteri (mantan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof) dan tidak ikut cara Nabi s.aw., kerana sepatutnya beliau mengetahui siapa dan apa peranan MKI dan Raja-Raja Melayu dalam hal-hal berkaitan pentadbiran Islam.

Lebih dahsyat lagi, dalam satu sesi forumnya tentang kempen Buy Muslim First (BMF) yang disiarkan dalam satu video klip, Dr. Maza menyifatkan (memaki) seorang atau lebih menteri sebagai ‘bodoh tak bertebing’ kerana tidak menyokong kempen BMF, sambil diketawakan berdekah-dekah oleh Prof. Madya Dr. Rozaimi Ramli rakan panelisnya dan moderator Amin Idris.

Ketika itu Dr. Maza tidak sedarkah siapa dirinya di bawah Perlembagaan Persekutuan? Ketika itu tidak wajibkah mentaati perkara yang telah diperkenankan oleh YDP Agong dalam Dewan Rakyat?  Ketika itu tidak wajibkah taat kepada keputusan kerajaan yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan demi kemaslahatan rakyat dan negara?

Jawapan MAZA : Bercakap tentang ikrar dan janji, adapun saya, bahkan semua rakyat yang sebenar, telah berikrar RUKUN NEGARA yang kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’. Saya percaya saudara pun pernah berikrar. Dengan saudara tidak mengiktiraf perlantikan yang dibuat oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bererti saudara telah melanggar ikrar dan janji yang saudara telah buat sejak dahulu. Justeru, saya mengiktiraf kerana saya menunaikan janji dan ikrar.

Jawapan saya:

Tiada pertikaian tentang kuasa DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dalam melantik sesiapa yang dipercayai mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat itu. Persoalan bukan selepas perlantikan itu, tetapi sebelum itu lagi di mana usaha-usaha dijalankan secara tersusun di bawah pengetahuan anda (dan ada kemungkinan anda sendiri terlibat memberi konsultansinya, berdasarkan penghantaran-penghantaran anda di FB) untuk melanggar perjanjian yang wajib dipatuhi dalam agama. Bukankah melanggar perjanjian yang disebutkan sebagai al-ghadr dalam agama itu merupakan satu dosa besar? Bagaimana pula orang yang menyokong atau mengharuskannya?

Sukalah saya mengingatkan anda dengan firman Allah s.w.t. daripada Surah al-Nahl 16: ayat 91-94 yang bermaksud:
“Dan sempurnakanlah perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah/ janji kamu sesudah kamu menguatkannya (mengesahkan, menandatanganinya), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. (16:91)

Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah dia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah/perjanjian kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan/penyokong yang lebih ramai dari golongan/ penyokong lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Dia sudah tentu akan menayangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya. (16:92)

Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan. (16:93)

Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).” (16:94)

Ketika mentafsirkan ayat 16:94 itu al-Imam al-Hafidz Ibn Kathir menulis, maksudnya: “(Perbuatan mengkhianati perjanjian sangat tercela) kerana orang kafir melihat orang beriman (Islam) telah mengikat perjanjian dengan mereka, lalu orang Islam itu khianat, tiadalah lagi pada pandangannya (orang kafir itu) bahawa dia (orang Islam) berpegang pada agama. Dengan sebab perbuatan khianat itu, maka jalan untuk orang masuk Islam menjadi terhalang. Kerana itu Allah berfirman, “…dan kamu akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang dahsyat (di akhirat)”

Manakala dalam hadis pula banyak larangan keras terhadap perbuatan al-ghadr yang merupakan dosa besar itu. Antaranya hadis yang bermaksud:

“Bagi setiap pengkhianat perjanjian itu terdapat bendera di punggungnya pada hari kiamat, (bendera itu) diangkat setakat mana pengkhianatannya. Ketahuilah bahawa tiada pengkhianatan yang lebih besar daripada pengkhianatan pemimpin orang ramai” (Sahih, riwayat Muslim)

“Bagi setiap pengkhianat perjanjian itu bendera pada hari kiamat yang tercatat padanya “Inilah pengkhianatan si polan” (Sahih, riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Allah berfirman, “Tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat; seseorang yang memberikan perjanjian dengan namaKu kemudian dia mengkhianat, seseorang yang menjual orang merdeka lalu memakan hasilnya, dan seseorang yang mengupah orang bekerja, apabila pekerja itu menunaikan kerjanya, dia tidak membayar upahnya.” (Sahih, riwayat al-Bukhari)

Dengan begini banyak dalil pengharaman al-ghadr yang telah saya suakan kepada anda sebelum ini, kenapa anda hanya mahu mendiamkan diri? Di mana penjelasan atau takwilan anda terhadap dalil-dalil ini sehingga anda mengatakan perjanjian sesama PH hanya perjanjian peribadi Tun Mahathir dan orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun Mahathir sahaja seperti argumen anda di para bernombor 4 dan 5 di bawah?

Jawapan MAZA : Untuk pengetahuan saudara, pada 8 Oktober 2019, Perdana Menteri Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamed telah menulis sepucuk surat peribadi kepada saya. Antara isi kandungan surat tersebut, beliau menyatakan: “𝐒𝐚𝐲𝐚 𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐣𝐚𝐧𝐣𝐢 𝐬𝐢𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐠𝐚𝐧𝐭𝐢 𝐬𝐚𝐲𝐚 𝐣𝐢𝐤a 𝐬𝐚𝐲𝐚 𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐏𝐌. 𝐒𝐚𝐲𝐚 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐦𝐮𝐧𝐠𝐤𝐢𝐫 𝐣𝐚𝐧𝐣𝐢. 𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐣𝐚𝐧𝐣𝐢 𝐚𝐩𝐚-𝐚𝐩𝐚. 𝐌𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐛𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐩𝐢𝐥𝐢𝐡 𝐬𝐢𝐚𝐩𝐚 𝐬𝐚𝐡𝐚𝐣𝐚. 𝐓𝐞𝐭𝐚𝐩𝐢 𝐬𝐚𝐲𝐚 𝐧𝐚𝐤 𝐩𝐢𝐥𝐢𝐡 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐚𝐢𝐧, 𝐢𝐧𝐢 𝐬𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐣𝐢𝐤𝐚 𝐬𝐚𝐲𝐚 𝐥𝐚𝐤𝐮𝐤𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚”.

Jawapan MAZA : Dari surat Tun Mahathir itu, ternyata orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja. Sudah pasti DYMM YDPA tidak terikat dengan janji tersebut. Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu. Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada.

Jawapan saya:

Tanpa merujuk dokumen perjanjian itu terlebih dahulu dan tanpa menyatakan siapa sebenarnya yang terlibat dalam perjanjian itu dan menandatanganinya, anda dengan mudah membuat keputusan bahawa ia cuma perjanjian peribadi Tun Mahathir. Ternyata anda tidak melakukan kajian sepatutnya dan anda tiada pengetahuan yang mencukupi sebelum membuat fatwa. Adakah anda sudah lupa apa yang anda sendiri tulis dalam buku kecil ‘Kewajipan Memahami Realiti Sebelum Berfatwa’ itu? Surat peribadi Tun Mahathir kepada anda itu tidak melepaskan anda daripada tanggungjawab membuat semakan dokumen yang lain sebelum berhukum.

Tidakkah anda mengetahui bahawa mengeluarkan hukum atau fatwa tanpa ilmu yang mencukupi itu haram dan berdosa besar kerana dua sebab? Pertama kerana berani berdusta dan berbohong atas nama Allah s.w.t. dan kedua, menipu dan memperdaya manusia ke arah kesesatan.

Ketika menerangkan ayat 116-117 Surah al-Nahl, Ibn al-Qayyim menyatakan: “Allah s.w.t. memberi ancaman seksa terhadap orang yang berdusta dalam menerangkan hukum-hakamNya, iaitu mengatakan apa yang Allah tidak haramkan sebagai haram atau mengatakan apa yang Allah tidak halalkan sebagai halal. Ayat ini adalah keterangan daripada Allah s.w.t. bahawa tidak harus mengatakan “ini halal, ini haram” melainkan dengan secara ilmu yang pasti bahawa Allah taala telah menghalalkan atau telah mengharamkannya.” (I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabbi l-‘Alamin, 1/38)

Jawapan MAZA : Kita semua tahu, apa yang berlaku Perdana Menteri ke-7 yang meletakkan jawatan. Maka negara tiada Perdana Menteri. Seorang Perdana Menteri perlu dilantik. Apakah cara? DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil langkah yang wajar dan dipertujui oleh Majlis Raja-Raja. Satu cara pemilihan telah dibuat di Istana Negara. Parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertai pemilihan tersebut dengan hadir ke Istana Negara dan memaklumkan calon pilihan mereka kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Jika pemilihan itu satu pengkhianatan dan tidak sah, mengapa parti saudara dan ahli-ahli parlimen PH turut menyertainya? Tidakkah pemilihan Perdana Menteri sekarang ini hasil dari proses tersebut? Jika diandaikan calon parti saudara menang, adakah sah? Jika calon saudara tidak menang, maka tidak sah?!!! Lojik apakah ini?!

Jawapan saya:

Seperti disebutkan di atas, persoalan yang ingin kita bincangkan bukanlah selepas perlantikan PM8. Tetapi persoalan hukum asal melanggar perjanjian oleh segolongan wakil rakyat itu yang kini berada dalam kerajaan. Anda telah merestui perbuatan mereka tanpa sedikit teguran sebagai orang yang dipikulkan amanah ilmu dalam agama.

Tidakkah anda merenung dan gerun akan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al-Baqarah 2:159)

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Baqarah: 174)

Berkata al-Imam al-Qurtubi ketika menerangkan maksud ayat ini: “Maksudnya ialah sesiapa sahaja (tidak terhad kepada ulama Yahudi sahaja) yang menyembunyikan kebenaran, maka ayat itu umum untuk sesiapa sahaja yang menyembunyikan ilmu dalam agama Allah yang diperlukan untuk disebarkan. Hal ini ditafsirkan juga oleh hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang ditanya tentang sesuatu ilmu yang diketahuinya tetapi dia menymbunyikannya, maka Allah akan merejamkannya pada hari kiamat dengan rejaman api neraka” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih)

Tidakkah anda juga tahu, sebagai mufti, tentang satu kaedah Usul iaitu (  لا يجوز تأخير البيان عن وقت الحاجة إليه  ) “Tidak harus melewatkan keterangan (hukum) daripada waktu (manusia) memerlukannya” (Lihat Ibn Qudamah, Rawdhah al-Nazir wa Jannatu al-Manazir, muka surat 96, dan al-Syawkani, Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min ‘Ilm al-Usul, muka surat 173).

Sedangkan anda sendiri mengikuti dengan rapat gerakan-gerakan yang dilakukan oleh golongan manusia pengkhianat perjanjian itu sebelum pengkhianatan mereka itu benar-benar berlaku. Sedangkan saya sendiri, dengan keterbatasan liputan pandangan saya, telah beberapa kali memberi amaran tentang keburukan perkara itu pada pandangan agama sebelum ia dilaksanakan. Adakah nanti di akhirat anda sanggup memikul tanggungjawab untuk menjawab bagi pihak para pengkhianat perjanjian itu di depan Allah s.w.t.?

Nampaknya anda sudah pandai mencekik dalil-dalil syarak sehingga tak berbunyi lagi. Ini satu kemajuan baru bagi anda dalam kepakaran memulas dalil, setelah sebelum ini, ketika sesi ceramah di masjid UiTM Perlis dalam bulan November 2019, anda memulas fakta tentang Ka’b bin al-Asyraf, seorang Yahudi kafir harbi yang dibunuh dengan arahan Nabi s.a.w., yang anda cuba menyamakannya dengan warganegara Malaysia yang bukan muslim.

Jawapan MAZA : Adapun sudut ketelusan parti saudara yang tidak akan mengiktiraf lompat parti, mungkin saudara terlupa sejarah parti saudara. Parti saudara muncul hasil dari lompat parti. Bukan sahaja lompat parti, bahkan melanggari baiah dengan parti asal mereka. Bukan baiah biasa, tetapi baiah atas nama Allah dan RasulNYA bahawa isteri tertalak jika mereka lompat. Pun begitu mereka telah melompat. Pemimpin saudara pernah menghantar surat kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Perlis untuk memutuskan apakah isteri mereka tertalak. Jawapan yang kita berikan ialah sama ada jatuh atau tidak talak itu berdasarkan niat semasa sumpah talak tersebut dibuat. Saudara boleh rujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri perlis kali ke-24 & 25/2016 pada20-21 disember 2016. Namun, perbuatan menggunakan nama Allah, RasulNYA serta talak isteri untuk berpolitik adalah perbuatan yang keji. Hal itu pernah dilakukan oleh parti saudara.

Jawapan saya:

Kewujudan parti Amanah adalah kerana para pemimpinnya memisahkan diri daripada majoriti pemimpin parti Pas pro ulama konservatif yang telah mengkhianati perjanjian Pakatan Rakyat selepas Muktamar Pas ke 61 pada 2015 atas alasan-alasan di antaranya, DAP menentang hudud, sedangkan hudud tiada dalam persepakatan atau tahaluf siyasi PR. Bermakna jika mereka terus duduk bersama Pas, mereka duduk bersama para al-ghadirin.

Tindakan Pas keluar dan mengkhianati persepakatan PR juga dilihat tidak mengikuti peraturan dan perlembagaan parti itu secara tuntas, iaitu tidak berdasarkan keputusan muktamar agung yang terbuka kepada perbahasan perwakilan, di mana ada perwakilan yang disekat daripada berucap dengan merampas mikrofon, sebaliknya tindakan diambil berdasarkan kecenderungan presiden dan pemimpin pro ulama konservatif yang telah lama cuba membawa idea kerajaan perpaduan bersama Umno BN sejak selepas PRU 2008 lagi (bacaan lanjut boleh dibuat: Muhamad Helmy Sabtu dan Muhamad Nadzri Mohamed Noor, Persaingan Ideologi PAS dan AMANAH Dalam Politik & Pilihan Raya, muka surat 14, 49, 53-58)

Persoalan baiah dengan talak tiga itu sudah diselesaikan dan ia ada pelbagai pandangan dalam feqah. Pendapat terpilih yang diambil ahli politik terbabit ialah talak tidak jatuh dan mereka melakukan kaffarah sumpah.

Dr. Maza bukan ahli politik dan tidak terbabit langsung dalam tahaluf siyasi PR, maka ingatan dan cernaannya terhadap rentetan peristiwa dalam parti-parti tertentu mungkin agak cetek dan dangkal.

Jawapan MAZA : Jika saudara masih ingat atau membaca, ada percubaan menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008, yang cuba membentuk kerajaan melalui lompat parti. Pemimpin-pemimpin parti saudara juga bersama dengan pemimpin berkenaan. Pemimpin tersebut juga calon PM yang saudara sebut. Saya bukan mahu memburukkan beliau, tetapi jika saudara bercakap soal prinsip yang parti saudara pegang, mungkin saudara boleh menilainya.

Jawapan saya:

Hal itu tidak berlaku pun. Maka hukum tidak tersandar pada perkara yang tidak berlaku. Niat untuk melakukan kemungkaran belum dicatat sebagai dosa selagi ia tidak dilakukan. Seperti Dr. Maza berniat tidak memberitahu hukum haram al-ghadr tidak dikira berdosa lagi, sehingga Dr. Maza memang tidak memberitahunya ketika manusia berhajat mengetahuinya, baru dikira berdosa besar.

Kaedah melarikan diri daripada menjawab persoalan berkaitan sesuatu kesilapan dengan menjustifikasikan kesilapan pihak lain yang belum dilakukan adalah satu kaedah yang tersasar daripada ciri-ciri ahli ilmu yang tulen. Ia cuma helah membela diri yang sangat pincang.

Jawapan MAZA : Pengiktirafan saya tiada kaitan dengan perjanjian antara orang-orang politik. Saya mengiktiraf apabila seseorang telah sah sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan di sisi Perlembagaan. Jika satu hari kumpulan saudara menjadi kerajaan yang sah, saya iktiraf. Soalan mengkritik, itu perkara kedua. Berbeza antara kritik dan iktiraf. Mengapa saya iktiraf dan taat selagi tidak mungkar? Jawapannya kerana saya bukan orang parti seperti saudara. Saya muslim yang berpegang kepada arahan Nabi s.a.w :
إِنْ أُمِّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ فَاسْمَعُوا لَهُ وَأَطِيعُوا مَا قَادَكُمْ بِكِتَابِ اللهِ تَعَالَى  “Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, dengar dan taatlah jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll, sahih atas syarat al-Imam Muslim).Juga sabda Nabi s.a.w:  السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ وَلَا طَاعَةَ  “Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jawapan saya: Telah dijawab dalam perkara no. 2 di atas.

Jawapan MAZA : Prinsip rakyat dalam urusan pemerintahan ialah kita menyokong yang baik dan ijtihad yang tidak berdosa dalam pentadbiran. Kita memberikan pandangan balas dan kritikan jika perlu. Kita membantah dan tidak menyokong hal-hal yang mungkar. Apa yang penting, negara mesti stabil dan memelihara kepentingan rakyat dan agama.

Jawapan saya:

Dasar Rahmatan Lil ‘Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang anda dan rakan anda lancang memperlekeh sehingga ke tahap mengatakan ‘Rahmatan Lil Kafirin’, ‘Rambutan Pak Amin’ itu di mana maksiat atau dosa dalam dasar-dasar itu? Apa bukti ia rahmah kepada orang-orang kafir selagi pengamalannya menurut undang-undang dan Perlembagaan?

Persepsi negatif yang dicipta oleh anda dan rakan-rakan bukanlah satu bukti ia bercanggah dengan syarak. Apatah lagi ketidakpuasan hati anda tentang Dr. Zakir Naik tidak dibenarkan berceramah umum itu bukan keputusan dasar RLA itu, sebaliknya keputusan kabinet dan di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri yang menterinya sekarang telah menjadi PM8. Sebagai bukti RLA bukan penghalang atau penindas Dr. Zakir Naik, sampai sekarang sudah bertukar kerajaan pun beliau masih belum dibenarkan berceramah umum dan berdebat dengan penganut agama lain. Kita tunggu selepas PKP ini jika Dr. Zakir Naik dibenarkan berdebat secara terbuka dengan penganut agama lain.

Jawapan MAZA : Telah berlaku pertukaran kerajaan dalam sepanjang sejarah manusia melalui pelbagai cara. Ada yang melalui cara terpuji dan ada yang melalui cara yang keji. Kerajaan ‘Abbasiyyah ditegakkan hasil rampasan kuasa dari Kerajaan Umawiyyah. Pun begitu, rakyat terus hidup. Berkurun-kurun kerajaan itu berlangsung. Para ulama yang fakih terus dengan sikap jujur mereka. Mereka mentaati hal yang patut ditaati dan membangkang hal yang patut dibangkang. Para imam yang empat, hidup di bawah Kerajaan Abbasiyyah. Demikianlah kebanyakan ulama dan sarjana pelbagai bidang. Mereka khidmat dalam hal yang perlu dan membantah perkara yang perlu. Sebahagian buku yang parti saudara baca juga dari ulama-ulama kerajaan Abbasiyyah.

Jawapan saya:

Tiada takwilan tentang kewajipan mentaati pemerintah semasa hatta pemerintah kafir di United Kingdom wajib ditaati orang Islam di sana. Begitu juga tanpa pertikaian, semua rakyat Malaysai mesti mentaati kerajaan semasa termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Covid19 sekarang. Itu bukan soalnya.

Soalnya sekarang ialah anda sebagai ilmuan agama hebat dan mufti yang dilantik yang sangat lantang sebelum ini tentang halal, haram dan isu-isu politik semasa tiba-tiba diam tidak berbunyi tentang hukum haramnya al-ghadr, sedangkan ia bukan suatu yang terpencil dalam agama. Sedangkan al-Imam al-Nawawi mengkhususkan satu bab dalam kitab Riyadhus Solihin yang anda gunakan untuk berkuliah itu, iaitu Bab Tahrim al-Ghadr.

Jawapan MAZA : Jika saudara menyatakan parti saudara hidup atas prinsip Islam berpegang pada janji, mungkin saudara boleh semak semula. Selain dari apa yang saya sebutkan di atas, tidakkah pemimpin parti saudara juga yang pernah cuba menjustifikasikan perlanggaran janji politik dengan membuat satu kenyataan yang menghina Nabi s.a.w bahawa ‘Nabi s.a.w pun pernah tak tunai janji’. Mungkin kemudian dia bertaubat, saya harap begitu.

Jawapan saya : Perkara itu telah dijelaskan oleh pemimpin itu iaitu YB Khalid Samad bahawa beliau tidak bermaksud menghina Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu, sebaliknya beliau menyebutkan hal itu sebagai respon kepada ahli-ahli Amanah yang lantang mengkritik kerajaan PH dalam konvensyen tahunan di Ipoh tahun 2018 yang dikatakan tidak menunaikan janji manifesto PRU14. Beliau menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. pun berjanji hendak mengerjakan umrah tetapi tidak dapat menunaikan janji itu kerana tidak mampu akibat disekat oleh puak Quraisy Makkah. Tidak menunaikan janji kerana tidak atau belum mampu, bukan menghina baginda sengaja tidak menunaikan janji.

Sekali lagi anda sebagai pemerhati politik di tepi gantang dangkal dan gagal memahami scenario sebenar  politik kepartian, tetapi sibuk hendak membuat komentar di luar maksud si penutur asal. Adakah anda tak tahu kaedah yang masyhur dalam kalangan ulama Usul (   العبرة بالمقاصد والمعاني ليست بالألفاظ والمباني ) “Perkiraan hukum adalah berdasarkan tujuan dan maksud (penutur), bukan berdasarkan lafaz dan binaan ayat”? (Boleh dirujuk secara lebih lanjut Dr. Muhammad al-Zuhayli, Al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah)
Akhir kritikan saya, sebagai mufti yang sepatutnya bercakap dan mengupas secara mendalam tentang dalil-dalil syarak dan tafsirannya berkaitan hukum al-ghadr atau pengkhianatan perjanjian yang merupakan satu dosa besar, malangnya kali ini Dr. Maza kelihatan cuba-cuba menjadi pensyarah Perlembagaan Persekutuan atau guru subjek Pengajian Am pula. Sekali lagi Dr. Maza kelihatan bagai melukut yang gagal memberi jawapan yang tuntas kepada persoalan sebenar orang ramai ketika mereka sangat memerlukannya. Kenapa Dr. Maza seolah malu-malu untuk menyentuh dalil-dalil syarak yang disebutkan di atas seolah-olah ia tidak wujud dalam agama?

Sekian, semoga kita semua mendapat taufiq dan hidayah daripada Allah s.w.t..  Semoga Allah s.w.t. menyelamatkan rakyat dan negara kita serta seluruh dunia daripada bencana musibah Coivd-19. Ameen, ya Rabbal ‘alamin.

Ustaz Ali Muda

Nota:
Ini adalah edisi kemas kini 8 April 2020. Edisi lebih awal adalah terbatal.