Jangan ‘sengaja’ mahu dijangkiti Omicron untuk bina imuniti, sila ambil dos penggalak – KJ

Jangan ‘sengaja’ mahu dijangkiti Omicron untuk bina imuniti, sila ambil dos penggalak. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata tiada sebarang pendekatan kesihatan awam yang membuktikan seseorang itu perlu dijangkiti varian Omicron Covid-19 untuk membina imun terhadap virus itu.

Oleh itu, beliau menasihatkan masyarakat tidak “sengaja” dijangkiti Covid-19, sebaliknya perlu mendapatkan dos penggalakan.

“Tidak kira varian apa. Omicron ke, Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat Covid-19 sebab yang pertama, kita tidak tahu kesannya,” katanya.

Jangan 'sengaja' mahu dijangkiti Omicron untuk bina imuniti, sila ambil dos penggalak - KJ

“Yang kedua kita tidak tahu kesan ‘long’ Covid-19. Hari ini mungkin kita kata Omicron lebih ‘mild’ daripada Delta, jadi kenapa tidak semua dijangkiti Omicron supaya kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron ‘milder’, tetapi tidak bermakna anda perlu dijangkiti.”

Khairy berkata demikian selepas melancarkan program Inisiatif Mengakhiri AIDS Melalui Kerjasama Pintar Kerajaan-badan bukan kerajaan atau GO-NGO Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan di Klang.

Beliau menulis laporan pada Khamis lalu yang menyatakan varian Omicron mampu membina imuniti kelompok dalam masyarakat disebabkan keadaan penularannya yang tinggi.

Khairy berkata, 99% daripada mereka yang dijangkiti Omicron di negara ini dalam kategori satu dan dua.

Mengenai jumlah kes harian Covid-19 yang semakin meningkat, beliau meminta masyarakat tidak menilai keadaan wabak itu berdasarkan statistik sahaja.

Katanya, ia perlu dilihat dengan jumlah pesakit positif Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) yang disifatkannya masih terkawal.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menjangkakan peningkatan harian pada bulan ini dan Februari, susulan pergerakan masyarakat sejak sambutan Krismas, cuti sekolah, Tahun Baharu, Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.

Katanya, keadaan di Selangor juga masih terkawal, walaupun negeri itu merekodkan jumlah kes tertinggi setiap hari.

“Antara sebab (kes tinggi di Selangor) adalah pintu masuk antarabangsa terletak di negeri itu, di mana (pengembara) berdaftar di negeri ini, walaupun bukan orang Selangor.”

Baca Juga : PKP bakal dilaksana kembali menjelang Aidilfitri?
Penyelidik terkejut temui spesies yang telah pupus dalam lubang misteri di China
Syahmi Syazli tayang rumah baru, netizen tetap rasa dia humble… Ini sebabnya…

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)