Jangan politikkan isu runding terus, pinta Tengku Zafrul

Jangan politikkan isu runding terus, pinta Tengku Zafrul

Isu berkaitan 101 projek yang dianugerahkan menerusi rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak perlu dipolitikkan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, beliau selaku individu bertanggungjawab terhadap isu perbendaharaan negara hanya menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 membenarkan rundingan terus, sekali gus tiada sebab untuk perkara itu dipolitikkan.

“Selepas saya menjawab isu itu (di Parlimen), banyak permintaan daripada beberapa pihak (supaya) senarai projek tersebut dikeluarkan.

“Jadi, atas dasar ketelusan, saya buat keputusan untuk keluarkan senarai tersebut dan ia berdasarkan fakta.

“Ia bukan atas sebab siapa yang runding, (atau) bilakah ia ditandatangani. Kalau kita lihat, itu adalah data dan fakta menunjukkan LOA (Surat Anugerah) ditandatangan semasa PH (menjadi Kerajaan).

“Jadi, itu sahaja yang ingin saya sebut. Dan ini tidak perlu dipolitikkan. Ini fakta sahaja,” katanya, lapor Astro Awani.

Pada Isnin, Tengku Zafrul memaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat, rekod menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng sebelum ini, telah meluluskan 101 projek berkenaan secara rundingan terus.

Namun, beliau menjelaskan, dalam keadaan tertentu, kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan kriteria tertentu seperti melibatkan keperluan negara yang mendesak.

Baca lagi :

Penipuan besar Zafrul, Lim akan bongkar segalanya pagi esok

Duit Tabung Harapan diurus kerajaan PH dengan baik – Timb Menteri

Berita penuh : https://perakinsights.com/2020/08/27/selepas-pembohongan-didedah-zafrul-minta-jangan-politikkan-isu-runding-terus/

COMMENTS