Jangan kurang ajar, tegur ahli Pas kepada MCA

Jangan kurang ajar, tegur ahli Pas kepada MCA

Nasihat yang cukup murni daripada YB Siti Zailah mengenai “asas pengawalan perasaan marah” daripada kacamata Islam khasnya dan ia sebenarnya boleh diamalkan semua pihak. Saranan daripada Nabi SAW ini telah banyak terbukti dan berkesan dalam mengawal emosi yang sedang memuncak dengan amarah. Ia perkara biasa kepada umat Islam dan manusia amnya.

Adakah YB Timbalan Menteri menyuruh “untuk berdiam diri terhadap tingkah laku ganas suami”? Berapa kali-kah para pengkritik video ini melihat dan menaakul isi butir bicara YB Siti Zailah? Apa salahnya dengan saranan supaya “diam dahulu” dan bersabar?

Bahkan Siti Zailah memulakan cadangan kepada pihak suami terlebih dahulu iaitu dengan mengatakan, “antara kaedah lain apabila kita berdepan dengan keadaan marah, kita boleh mengambil pendekatan “diammm dulu”, terutama kalau kita seorang suami, apabila dengar isteri berleter, tahan dulu, sabar dulu.”

Seterusnya YB Timbalan Menteri menyambung, “begitu juga dengan seorang isteri yang mungkin berdepan dengan suami yang sedang marah, sabar dulu, jangan kita menjawab, jangan kita menengking suami, sabar, Insyaallah ia boleh meredakan keadaan”. Ini mudah sahaja difahami oleh mereka yang mengambil positif saranan YB Siti Zailah dan tidak cuba untuk memanipulasi ucapan beliau.

Perkataan yang digunakan adalah “sabar dulu” kepada baik si suami atau sang isteri. Asas kerukunan rumahtangga adalah bersabar. Dan Siti Zailah menggunakan perkataan “isteri berleter” dan “suami sedang marah” yang menjadi kelaziman bagi sifat manusiawi di pelosok mana sekalipun dalam dunia ini. Isteri berleter dan suami marah. Jarang teramat jarang kita dengar “suami berleter”, tetapi isteri boleh sahaja “marah dan berleter”. Apapun, asasnya adalah “sabar dahulu”.

Susah sangatkah memahami perkataan “sabar dahulu” ini? Kenapa Sister In Islam ataupun beberapa individu yang dekat dengan NGO berkenaan telah “terlebih” memahami bahawa “sabar dahulu” dengan leteran isteri dan marahnya suami sebagai “Untuk berdiam diri terhadap tingkah laku ganas suami”?

Adakah salah menasihati sedemikian? Atau Pemuda MCA suka lelaki yang apabila isterinya berleter, maka terus sahaja dia mengamuk dan melakukan kekerasan kepada si isteri? Tak perlu “diam dulu”, “sabar dulu” dan dengar sahaja leteran isteri yang mungkin sahaja penat dan letih menguruskan rumahtangga serta anak anak? Atau Pemuda MCA suka jika si isteri, yang apabila suaminya sedang marah akan sesuatu perkara, maka si isteri terus melaporkan “keadaan suami marah” berkenaan kepada pihak berkuasa? Cerdikkah tindakan berkenaan?

Apa bezanya suami marah dengan suami yang bertindak ganas? Di mana sempadannya antara suami yang sedang marah dengan bermulanya tindakan ganas ataupun penderaan? Suami marah kerana lambat memasak, suami marah sebab rumah tidak sempat dikemas sebelum dia sampai ke rumah, suami marah benda itu dan ini yang sememangnya menjadi asam garam rumah tangga? Adakah itu sudah dikira keganasan bagi Pemuda MCA? Jika YA, maka tohor sungguh pemahaman sedemikian.

Bahkan lebih teruk ada yang memahami nasihat Siti Zailah sebagai “mesej tersembunyi bahawa wanita perlu bersabar, menerima dan memaafkan tingkah laku ganas suami”.

Tidakkah mereka mendengar video ini sehingga habis? Sedarkah mereka pada minit ke (3.45), YB Siti Zailah menyebut, “Di Kementerian kami, kami menyediakan Talian Khas, untuk bagi keluarga yang berdepan dengan cabaran dan masalah, terutamanya yang melibatkan keganasan rumahtangga, ataupun kes kes penderaan”.

Jelas di situ pihak Kementerian amat prihatin akan masalah keganasan rumahtangga dan penderaan yang sekiranya berlaku, mereka mengalu-alukan semua aduan dan panggilan telefon serta akan menanganinya dengar kadar segera.

Nah Pemuda MCA, mengapa perlu dipeningkan isi awal video sedangkan di akhirnya telah dipromosikan Talian Kasih untuk kes kes yang sepatutnya diadukan?

Dan mengapa juga Pemuda MCA perlu menari dengan mengikut rentak musuh? Kenapa perlu senada kritikannya bahkan lebih keras apabila menyebut, “Saya minta maaf kerana terpaksa bersuara, tetapi Siti Zailah tidak layak untuk menjadi timbalan menteri buat kementerian (KPWKM)”.

Hanya kerana kamu tidak memahami isi sebuah video nasihat yang amat sarat dengan saranan kebaikan, maka kamu mengecam Timbalan Menteri KPWKM?

Hanya kerana kamu tidak bersetuju dengan saranan saranan yang boleh mewujudkan suasana kemesraan rumahtangga dan perasaan tolak ansur antara pasangan suami isteri, sehinggakan kamu terlupa bahawa kamu adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan yang ada pada hari ini, dengan mengatakan YB Siti Zailah tidak layak menjadi Timbalan Menteri? Shame on You Pemuda MCA!

Biarpun kamu sudah memohon maaf kepada YB Siti Zailah Mohd Yusoff, mohon ingat dengan sebaik baiknya, jangan ulangi lagi kesilapan seperti ini!

Sumber :