Kerajaan menolak pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin, yang mengaitkan kes serangan ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand, boleh berlaku di Malaysia susulan wujud kerjasama antara UMNO dan PAS.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata apa yang berlaku di Malaysia adalah hanya membabitkan isu politik dan tidak wajar dikaitkan dengan insiden tembakan di New Zealand.
“Saya ada mendengar pandangan itu tetapi saya tidak setuju. Itu (tembakan dan kerjasama politik) dua benda berbeza.
Beliau berkata kepada media selepas merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 anjuran bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) di IKIM, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah IKIM, Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin; Timbalan Ketua Pengarah IKIM, Dr Mohd Zaidi Ismail; Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dan Ketua Wanita IKRAM, Sallawahiu Mohd Salleh.
Kelmarin, Chong Sin mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan kes serangan di Christchurch, New Zealand dengan kerjasama antara UMNO dan PAS sebelum bertindak menarik balik kenyataan itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menggambarkan kerjasama dua parti itu sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Islam sebelum menarik balik frasa ‘pengisytiharan perang’ itu.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pula menyifatkan kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS akan menjadikan negara seperti Afghanistan yang diperintah Taliban jika kedua-dua parti membentuk kerajaan.
Sementara itu, Mujahid berkata, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai pemimpin agama dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengecam serta mengutuk insiden tembakan terhadap umat Islam yang sedang beribadat dalam masjid di Christchurch, Jumaat lalu.
“Isnin (esok) saya akan jumpa bersama pemimpin agama dan NGO untuk kita buat satu jawatankuasa mengutuk apa yang berlaku di Christchurch kerana kebencian yang membawa kepada pembunuhan, amat bahaya.
“Kedua, kita hendak bawa bawa mesej kedamaian adalah satu perkara yang perlu dipertahankan. Kita kena mengekalkan mesej kedamaian Islam yang kita bawa,” katanya.
Beliau juga mencadangkan qariah masjid di seluruh negara untuk meningkatkan tahap keselamatan dan sensitiviti susulan insiden serangan itu.
“Saya juga minta juga rumah ibadah lain meningkatkan keselamatan kerana dalam hal kebencian apa pun boleh berlaku,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mujahid berkata beliau tidak pernah cuba untuk mengalih isu tuntutan wanita dengan mengecam golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang terbabit dengan satu perarakan di ibu negara, baru-baru ini.
Sebaliknya, beliau menyokong jika perhimpunan wanita itu digunakan sebagai platform untuk menyuarakan isu berkaitan wanita seperti penindasan golongan itu tetapi bukan perjuangan LGBT yang jelas bercanggah dengan naluri manusia dan agama.
Beliau membalas kritikan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir yang mendakwa tindakan Mujahid cuba mengalihkan perhatian daripada menangani tuntutan wanita kepada menumpukan pada hanya satu tuntutan sebagai memalukan.
Sumber :
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/03/542039/jangan-kaitkan-serangan-di-christchurch-dengan-kerjasama-pas-umno